Ahli Hadith & Sifat-Sifat Mereka

 

 

Al-hafiz Ibn kathir ketika membahaskan ayat Allah dalam al-Quran di mana Allah menyebut:  

 يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ ۖ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَٰئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا

(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.

 

Dia membawa perkataan ulama salafusoleh tentang ayat ini yang menunjukkan kemuliaan yang paling besar kepada ahli hadith kerana imam mereka merupakan nabi

 

Kemuliaan ulama hadith terserlah di dalam kebiasaan mereka menjaga hadith-hadith nabi, ini yang disebutkan oleh Sufyan al-Thauri sepertimana yang direkodkan oleh al-khatib di dalam syaraf ashab al-hadith bahawa ulama hadith adalah penjaga wahyu di bumi. Ahli hadith mereka adalah manusia yang menghabiskan umur mereka untuk berkhidmat kepada ilmu hadith sama ada dengan mencari hadith, merekodkannya, mempelajari rijal (baca: perawi), mensyarahkan (menjelaskan makna hadith) atau berkhidmat sekalipun dengan menghabiskan harta mereka, hatta para ulama menyifatkan pelajar hadith adalah pekerjaan muflis (maksud: tidak membawa kepada apa-apa keuntungan), ini disebabkan harta yang banyak digunakan untuk mempelajari, membeli kitab, bermusafir dalam menuntut ilmu hadith. 

 

Sifat ahli hadith yang sepatutnya dicontohi

 

Menjaga kebenaran agama melebihi maslahat peribadi dan individu. 

Imam Ali al-madini ditanya tentang status ayah beliau, maka beliau menjawab ini adalah agama, ayah aku lemah. Perkataan ali al-madini tidak  bermaksud merendahkan ayah beliau yang merupakan ahli keluarganya, akan tetapi sifat beliau ini menunjukkan keberanian mendahulukan kebenaran walaupun terpaksa melemahkan status hafalan ayah beliau, ini kerana hak agama melebihi hak peribadi, kerana itu beliau jelas mengatakan ini adalah agama, ayah aku dhaif (baca: lemah).  

 

Mengiktiraf sumbangan ulama walaupun kemungkinan ada beberapa pendapat peribadi beliau dikritik. 

Imam Qatadah bin Di’amah al-Sadusi merupakan imam ahli hadith dari basrah Iraq, beliau adalah perawi hadith dan sumber hadith dari negeri Basrah, pun begitu ada beberapa pandangan beliau terutamanya dalam bab Aqidah dikritik oleh ulama Aqidah. Namun ulama hadith tidak meninggalkan riwayatnya sebaliknya al-zahabi menjelaskan jika ditinggalkan hadithnya maka akan hilang sebahagian besar sunnah nabi sallahu alaihi wasallam

 

Imam al-zahabi ulama kurun kelapan menjelaskan perihal Qatadah bahawa beliau merupakan hujjah secara ijma’ jika dia menjelaskan dari siapa dia mengambil riwayatnya, tidak ada seorang pun yang syak tentang sifat kejujurannya, keadilannya, dan kekuatan hafalannya. 

 

Al-zahabi menyambung lagi dan mendoakan semoga Allah memberikan keampunan dan keuzuran kepada beliau terhadap kesilapan beliau, kata al-zahabi lagi, seorang imam yang besar jika perkara yang benar melebihi kesilapannya dan diketahui bahawa dia merupakan seseorang yang mencari kebenaran, dikenali dengan ilmu yang luas, jelas kecerdikannya, diketahui bahawa beliau adalah orang yang menjaga kesolehannya, warak, dan sentiasa mengikuti sunnah nabi, semoga Allah mengampunkannya, dan kami tidak menyesatkannya, dan membuang semua kebaikannya, walaupun begitu al-zahabi menjelaskan bahawa kesilapannya tidak diikuti, kita mengharapkan Allah memaafkan kesilapannya

 

Penulis berpandangan bahawa al-zahabi diantara ulama hadith yang sangat munsif (maksud: adil), beliau mengulas perihal ilmuwan islam dengan sangat jujur, sentiasa melihat kepada jasa ulama melebihi kesilapan yang tidak disengajakan, kesilapan pada Aqidah bukan perkara yang biasa, namun al-zahabi sentiasa mempraktikkan cara interaksi ulama hadith terhadap ilmuwan yang mempunyai jasa yang banyak walapun ada masalah kepada pegangannya, diantara hujjah al-zahabi ialah tidak ada seorang pun yang meninggalkan riwayat Imam Qatadah, termasuk dari poin beliau juga ialah sunnah akan hilang jika ilmuwan hadith meninggalkan riwayatnya, disamping itu al-zahabi juga mendoakan supaya Allah mengampunkan kesilapannya.   

 

Menerima ilmu walaupun seseorang itu lebih muda atau lebih rendah status. 

Imam Sufyan Ibn Uyainah mengatakan: seseorang tidak akan menjadi ahli hadith sehingga beliau mengambil (ilmu) dari seseorang lebih berumur, seseorang yang lebih muda, atau seseorang yang sama sepertinya. Menjadi tradisi ulama hadith untuk mempelajari dari seseorang yang lebih berilmu tanpa mengira umur, sifat ini merupakan asal kepada makna tawadu’ yang diamalkan oleh ulama hadith, kitab-kitab ulum al-hadith membahaskan bab ini seperti bab riwayat perawi yang besar dari perawi yang kecil. Imam Ibnu al-Jauziy membahaskan perihal kisah-kisah sahabat yang meriwayatkan dari sahabat yang lebih muda, seperti Abu bakar al-Siddiq telah meriwayatkan dua hadith dari anaknya Aisyah, al-Abbas Ibn Abdul Mutallib telah meriwayatkan dari al-Fadhl anak beliau, Ibnu Umar, Ibn Amr bin al-As, Anas bin Malik, Ibn zubayr telah meriwayatkan dari ka’ab al-Ahbaar

 

Asal praktikal ini adalah perbuatan nabi yang meriwayatkan hadith Jassasah dari sahabat yang bernama Tamim al-Dariy. Para ulama hadith juga mempraktikal sifat tawaduk ini ketika mencari ilmu; al-bukhari telah meriwayatkan beberapa hadith dari al-Imam al-Tirmizi, sedangkan al-tirmizi merupakan anak didikan beliau. 

 

Mengambil ilmu dari mereka yang berkelayakan. 

Imam Malik guru kepada al-Syafie yang merupakan ahli hadith yang berasal daripada Madinah tidak mendengar serta mengambil hadith dari seseorang yang tidak berkelayakan. Al-khatib membawa kisah Imam malik berjumpa di Madinah masyakhah yang mempunyai kesalehan dan sangat zuhud dan mereka meriwayatkan hadith, namun Imam Madinah ini tidak mendengar satu hadith pun daripada mereka, bila ditanya kepada beliau apakah yang menyebabkan beliau  meninggalkan riwayat mereka, jawab Malik bin Anas bahawa mereka tidak mengetahui apa yang mereka meriwayatkan, dalam erti kata lain mereka bukan ahli untuk mengambil ilmu walaupun sifat kezuhudan terzahir pada diri mereka, ini kerana kezuhudan bukan kayu ukur yang tepat untuk mengetahui seseorang itu mempunyai ilmu atau sebaliknya.

 

Imam al-Khatib al-baghdadi membawakan riwayat ini di dalam kitab beliau serta meletakkan tajuk bab yang sangat mendalam maknanya iaitu “Meninggalkan mendengar daripada orang yang tidak mengetahui hukum-hukum riwayah, walaupun dia terkenal dengan kesolehan dan ibadah”.  

 

Mempelajari dari ramai guru untuk memanfaatkan sebanyak ilmu yang mungkin. 

Diantara sunnah muhaddithin ialah mengambil manfaat dari seramai guru yang mungkin, al-bukhari mempunyai sekitar 1800 orang guru, beliau juga mengatakan setiap mereka adalah ahli hadith.  Imam Yaqub Ibn Sufyan al-fasawiy mengatakan aku meriwayatkan dari 1000 orang guru, kesemua mereka adalah dipercayai. Bahkan diantara cara untuk mengetahui perkara yang benar dari silap adalah dengan mempelajari dari ramai guru, Imam Ayyub al-Sakhtiyani ulama dari basrah mengajarkan kaedah yang sangat penting untuk penuntut ilmu iaitu jika engkau ingin mengetahui kesilapan guru kamu maka duduklah dengan guru yang lain.

 

Mengetahui kesilapan guru bukan sesuatu yang dilarang di dalam syarak bukan juga maksud untuk memperkecilkan seorang guru yang mulia, namun di dalam islam seseorang yang dipercayai tidak mungkin bebas dari kesilapan, bahkan hadith-hadith yang silap berlaku pada perawi yang dipercayai, dan bukan syarat thiqah adalah tidak melakukan kesilapan. Imam yahya ibn ma’in mengatakan sesiapa yang tidak silap di dalam hadith maka dia adalah seorang yang penipu. 

 

Memuliakan ulama adalah tradisi ahli hadith

Ulama hadith sangat memuliakan ulama-ulama islam, jika kita meneliti kitab ulama hadith kita akan dapati ahli hadith meletakkan seseorang pada kedudukannya yang sebenar. Al-khatib al-baghdadi meriwayatkan dari jalan al-hasan al-za’faraniy dari Muhammad bin Hasan bahawa dia mengatakan: pada hari ini jika ahli hadith mengungkapkan sesuatu maka mereka menyebutkan dengan lisan al-syafiey. 

 

Penulis berpandangan bahawa kalam ini menunjukkan kehormatan yang tinggi yang diberikan oleh ulama hadith kepada al-syafiey. Guru al-syafiey Imam dar al-hijrah Malik bin Anas mengatakan tidak ada seorang Quraish yang datang menuntut kepadaku yang lebih faham (tentang nusus wahyu) melebihi pemuda ini yakni isyarat kepada al-syafiey. Imam Sufyan bin Uyainah seorang ulama hadith dari Makkah jika berdepan dengan Riwayat tafsir dan soalan tentang fatwa, lantas berpaling kepada al-syafiey dan mengatakan tanyalah pemuda ini.

 

Abdul Rahman bin Mahdi ulama hadith dari kufah sekaligus guru kepada al-syafie mengatakan setiap kali aku melakukan ibadah solat aku tidak akan terlepas kecuali akan mendoakan al-syafie. Khabar ini diriwayatkan oleh al-khatib selepas dia menceritakan tentang idea beliau kepada al-syafiey untuk menulis sebuah kitab yang mengumpulkan makna-makna al-Quran, syarat-syarat untuk menerima hadith dan penghujjahan ijma’ maka al-syafiey lantas menulis kitab al-Risalah Ketika beliau di Iraq. Berita yang hampir serupa disebutkan oleh Imam Yahya bin sa’id al-Qatthan yakni tentang mendoakan al-syafiey pada setiap kali beliau solat. Al-khatib menyambung lagi dengan mengatakan para ulama hadith tidak menjumpai kesilapan dan kekeliruan al-syafiey di dalam ilmu hadith. 

 

Penulis sekali lagi berpandangan bahawa kalam al-khatib ini bukan disebabkan pujian yang dasarnya adalah taksub ulama hadith kepada al-syafiey namun lafaz kalam al-khatib ini menunjukkan bahawa mereka telah melakukan perbandingan riwayat kepada hadith-hadith yang diriwayatkan oleh al-syafiey dan didapati tidak berlaku kesilapan pada riwayatnya, dan jika dikritik pun ianya sangat sedikit. 

 

Kreatif di dalam melakukan sesuatu pekerjaan. 

Penulis berpandangan apa yang diusahakan oleh ulama hadith ialah sebenarnya sesuatu pekerjaan ini kerana mereka telah menghabiskan tenaga mereka untuk menjaga hadith nabi. Cara ulama hadith melakukan pekerjaan ini amat kreatif, ini dapat dilihat di dalam kitab-kitab yang dihasilkan oleh golongan yang dipanggil sebagai ahli hadith. 

 

Ketika mengamati sejarah ahli hadith, penulis mendapati bahawa ulama hadith mempunyai fasa-fasa yang berbeza di dalam cara mereka berkhidmat kepada ilmu hadith. Setiap fasa ulama-ulaam islam ini akan menunjukkan kepakaran mereka di dalam menyelesaikan isu di dalam ilmu hadith dengan cara sangat kreatif. 

 

Projek pada zaman Imam Malik ialah mengumpulkan hadith berserta fatwa-fatwa sahabat, tabi’in, amalan ahli Madinah dan fatwa Malik sendiri. Berbeza dengan Imam Ahmad yang hadir selepas beberapa tahun, projek Imam Ahmad ialah mengumpulkan hadith yang mempunyai sanad terus ke Nabi tanpa mensyaratkan sama ada ianya sahih atau tidak. Kemudian datang al-bukhari yang mempunyai idea sangat bernas yang diberikan olegh guru beliau iaitu mengumpulkan hadith-hadith yang sahih, anak murid beliau seperti Abu Dawud dan al-Tirmizi setiap dari mereka mempunyai fokus yang berbeza. 

 

Projek Abu Dawud dalam menghasil kitab al-“Sunan” sangat berbeza dengan apa yang dilakukan sebelum ini, fokus beliau kepada mengumpulkan dalil-dalil (baca; teks-teks hadith) yang digunakan oleh fuqaha’ Islam di dalam hukum tanpa mensyaratkan sama ada ianya sahih atau tidak. Rakan beliau iaitu Imam al-Tirmizi mempunyai idea yang sangat berbeza, tujuan beliau menulis kitab “al-Jami’” ialah mengumpulkan hadith-hadith yang diamalkan oleh ulama’ islam seperti sahabat dan tabi’in dan seterusnya. 

 

Adapun sunan al-Nasaie adalah kitab yang sangat payah untuk difahami terutama maksud meletakkan tajuk bab ketika membahaskan sesuatu Riwayat, ini yang membuatkan kitab al-nasaie mendapat kurang perhatian dari segi syarah hadith (maksud penulis ialah: hak mensyarahkan hadith-hadith sunan al-nasaei masih lagi tergatung di leher umat ini), namun ini menunjukkan kita masih lagi belum dapat mencapai maksud al-nasaei, dan maksud al-nasaei di dalam membahaskan kitab beliau masih lagi menjadi misteri di kalangan pengkaji-penkaji hadith, sebahagian pengkaji mengatakan bahawa kitab sunan al-nasaei ialah untuk menjelaskan hadith-hadith ma’lul (kecacatan dari segi riwayat di dalam sesuatu hadith). 

 

Yang terakhir adalah Imam Ibn Majah, cara beliau di dalam menulis kitab adalah untuk mengumpulkan hadith-hadith yang tidak diriwayatkan oleh al-bukhari, Muslim, Abu Dawud. Al-Tirmizi dan al-Nasaie. 

 

Selain dari kreatif mereka di dalam mengumpulkan matan hadith, ulama hadith juga memberikan tumpuan yang sangat besar kepada rijal hadith (baca: perawi hadith) mereka menulis kitab rijal iaitu kitab yang membantu untuk mengenali status-status perawi hadith. Kitab-kitab ini memberikan gambaran yang jelas kepada biografi perawi-perawi yang meriwayatkan ilmu-ilmu islam. Lihat betapa kreatifnya ulama islam, mereka tidak berhenti kepada teks hadith, sebaliknya kitab-kitab rijal juga menjadi tumpuan mereka, ini kerana muhaddithin faham bahawa setiap masalah di dalam matan hadith asalnya isu yang berlaku di dalam sanad, kerana itulah kitab-kitab rijal menjadi tumpuan sepertimana kitab-kitab matan menjadi tumpuan pada zaman awal. 

 

Pengkaji-pengkaji hadith di kalangan ulama islam menyambung cara mereka berkhidmat kepada sunnah dengan menyediakan kitab-kitab syarah dan gharib al-hadith. Sepertimana hadith perlu dijaga dari segi periwayatannya, maka makna hadith juga perlu dijaga dari dipalsukan oleh sesetengah pihak. Dengan sebab yang demikian timbulnya idea dikalangan ulama terkemudian untuk menulis syarah dengan niat menjaga makna hadith daripada diselewengkan oleh beberapa pihak. Selain dari syarah hadith, ulama islam seperti ibn al-athir penulis kitab al-nihayah telah menulis kitab gharib al-hadith (baca: kitab-kitab yang menjelaskan makna-makna yang ganjil di dalam teks hadith), kitab ini sangat penting, ini kerana ada beberapa kalimat di dalam teks hadith tidak dapat difahami hatta dikalangan orang arab disebabkan bahasa arab pada zaman tersebut adalah bahasa yang sangat tinggi. 

 

Kreatif ilmuwan hadith mula berkembang pada akhir abad keenam hijrah di mana sebahagian penulis-penulis islam tidak menguasai ilmu hadith sepertimana ilmu tersebut dikuasai pada zaman awal, maka lahirlah ilmu yang dipanggil sebagai ilmu takhrij. Ilmu takhrij ialah bidang pengkhususan yang penting untuk memastikan status hadith diketahui statusnya dan perbahasannya ketika ianya dinukilkan. Maka sikap ini menjadikan ulama pakar pada zaman tersebut berkhidmat kepada kitab-kitab turath dengan mentakhrij hadith-hadith yang dinukilkan di dalm sesuatu kitab, kerja ini bukan merendahkan para ulama islam sebagaimana yang difahami oleh sebahagian awam, tetapi ianya salah satu cara berkhidmat kepada kitab dan sekaligus menjaga hadith nabi. Kitab-kitab fiqh, tafsir dan tasawwuf telah ditakhrij untuk memastikan setiap hadith yang dinukilkan di dalam sesuatu kitab diketahui statusnya. 

 

Ahli hadith mengutamakan bukti dan mendahulukan pendapat pakar ketika berbincang sesuatu isu.

Seringkali kita dapati di media sosial bahawa sesuatu isu dibahaskan dengan emosi tanpa melihat kepada bukti dan fakta. Metodologi ahli hadith yang sepatutnya dicontohi adalah mendatangkan bukti ketika mengutarakan pendapat. Sikap ini dipraktikkan oleh ulama hadith sejak zaman awal lagi. 

 

Contoh kisah yang akan disebutkan di sini sangat menarik, ianya menunjukkan bahawa ulama hadith tidak hanya berpada dengan melihat zahir sanad tetapi mereka meneliti dengan menyelam dengan lebih dalam untuk mencari sekiranya ada isu ataupun kecacatan yang berlaku di dalam sanad bagi mana-mana riwayat. Diriwayatkan di dalam beberapa kitab bahawa dikatakan nabi bersabda: sesiapa yang banyak solat pada waktu pagi, maka wajahnya akan menjadi cantik pada waktu malam. Sebahagian penulis kitab islam meletakkan hadith ini dengan bersandarkan secara pasti kepada nabi. Namun jika dikaji dan dianalisa riwayat ini, didapati ulama hadith seperti Ibn hibban menyebutkan ada kesilapan yang berlaku di dalam sanad ini. Kata Ibn Hibban: ini dari perkataan seorang perawi yang bernama Syarik dia menyebut selepas meriwayatkan hadith A’masyh dari Abu Sufyan dari Jabir: Syaitan menyimpulkan di atas kepala kamu tiga simpulan. Thabit bin Musa memasukkan perkataan syarik ini di dalam khabar ini lantas menjadikannya sebahagian dari hadith A’masyh. Beliau menyambung lagi bahawa kemudian beberapa perawi-perawi yang lemah mencuri hadith ini dari Thaabit dan meriwayatkannya dari hadith syarik. Ibn A’diy dan al-hakim menguatkan lagi dengan menceritakan hal sebenar yang berlaku, ketika majlis hadith, Syarik sedang meriwayatkan hadith A’masyh dari Abu Sufyan dari Jabir: Syaitan menyimpulkan di atas kepala kamu tiga simpulan dan membacakan sanad hadith tersebut, ketika itu Thabit tiba di majlis tersebut, Syarik perasan akan kehadiran Thabit lantas menujukan kata-kata pujian padanya dengan menyebut: Sesiapa yang banyak solat pada waktu pagi, maka wajahnya akan menjadi cantik pada waktu malam, Thabit yang mendengar perkataan ini menyangka bahawa ini sebahagian dari matan hadith A’masyh maka dia meriwayatkan perkataan syarik tersebut secara bersambung kepada nabi, sedangkan perkataan ini pujian syarik kepada thabit. 

 

Sifat ahli hadith naqid (baca: pengkritik sekaligus pakar hadith) menunjukkan para ulama hadith seperti mereka tidak mempunyai sifat simplistik ketika membahaskan sesuatu isu terutama hadith. Maksud penulis adalah, jika diberikan perbezaan riwayat ini kepada mereka yang bukan pakar juga tidak ada berpengalaman di dalam dunia hadith, nescaya mereka akan memberikan konklusi yang sangat mudah iaitu mengganggap perkara ini khilaf riwayat diantara ulama iaitu dengan semudah ada yang mengatakan riwayat ini perkataan nabi dan ada yang mengatakan ianya perkataan perawi, namun setelah diteliti riwayat ini dari pandangan pakar, kita dapati ianya bukan semudah dengan mengatakan khilaf riwayat tetapi ianya kesilapan yang berlaku di dalam majlis hadith itu sendiri. Beginilah sifat pakar kepada sesuatu ilmu, mereka tidak melihat isu dengan lensa orang yang tidak pakar atau dengan mata awam, namun dengan pengalaman yang mendalam tentang ilmu yang mereka kuasai, mereka melihat lebih mendalam dari sekadar apa yang dilihat oleh orang yang tidak pakar, penulis menyangka ini yang berlaku pada pelbagai bidang ilmu, pendapat yang lebih pakar akan sentiasa didahulukan dari pendapat orang biasa di dalam bidang.  

 

Begitulah sifat muhaddithin, mereka menggunakan segala usaha mereka bermula dari harta, masa hingga ke kekuatan akal dan minda untuk berkhidmat kepada hadith nabi, ini menunjukkan sifat cinta sebenar mereka kepada nabi, penulis berharap dapat mencintai nabi dengan mengikuti adat dan kebiasaan ahli hadith disamping itu penulis juga menggalakkan pembaca sekalian meneliti sejarah ulama hadith dan islam untuk dijadikan teladan. Metodologi mereka di dalam beragama juga sangat penting, kata Ibnu Sirin: Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka lihat dari siapa kamu mengambil agama kamu. Kalam ini menjadi prinsip asal kepada penuntut ilmu untuk meneliti maklumat ketika menuntut ilmu. 

 

Akhir sekali penulis ingin menekankan bahawa ini adalah sebahagian dari sifat ahli hadith yang disebutkan di dalam kitab-kitab turath islam, ianya adalah hasil pengalaman penulis ketika melakukan kajian kepada ilmu hadith, penulis berharap pembaca akan mendapat manfaat dari hasil penulisan ini dan supaya ianya menjadi ilmu yang bermanfaat untuk penulis sendiri sebelum pembaca. Penulis juga berharap ini merupakan anak tangga dan usaha awal untuk mendekatkan ilmu ini kepada masyarakat. Para ulama islam telah menghabiskan umur mereka dalam mengumpulkan hadith, menjaga, menjelaskan maknanya serta berkhidmat kepada ilmu ini, maka penuntut ilmu yang kerdil seperti penulis hanya membaca dan menyampaikan kepada masyarakat islam dengan berharap kita lebih kenal kepada ulama islam dan menjaga turath islam ini. 

Disclaimer

The views, opinions, findings, and conclusions expressed in these articles are strictly those of the authors. Furthermore, Al-Falah Mosque does not endorse any of the personal views of the authors on any platform. Our team is diverse on all fronts, allowing for constant, enriching dialogue that helps us produce high-quality content.

Support Our Dakwah

Your donation will allow us to produce more programs & Islamic content that will bring benefits to the Muslim community in Singapore. The Messenger of Allah ﷺ said, “Verily, Allah is generous, and He loves generosity and exalted character.”
Donate