Apakah Kelebihan Lailatul Qadar?
Lailatul qadar adalah malam yang dinanti-nantikan oleh setiap orang yang beriman. Beribadah pada malam Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada beribadah selama seribubulan. Allah s.w.t menyebutkan di dalam surah al-Qadar ayat yang ketiga:
لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍۢ
“Malam al-qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”
Pengertian Lailatul Qadar
Perkataan Lailah membawa maksud malam, manakala al-Qadar boleh difahami melalui tigamaksud iaitu kemuliaan, mempersempit atau penetapan.
Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah menyebutkan, Lailatul Qadar bermakna malam yang memiliki kemuliaan kerana al–Qur’an diturunkan pada malam tersebut, turunnya para malaikat, turunnya keberkatan, rahmat dan keampunan pada malam itu. Ia juga kerana orang-orang yang mengisi malam tersebut dengan beribadah akan memperoleh keagungan.
Dalam konteks al-Qadar bermaksud mempersempit adalah kerana pada malam tersebutbumi menjadi sempit dengan turunnya para malaikat untuk mengatur urusan manusia.
Manakala maksud al-Qadar sebagai penetapan adalah kerana malam tersebut berlakunya penetapan segala keputusan yang akan berlaku pada tahun tersebut, sepertimana firman Allah s.w.t di dalam Surah ad-Dukhan ayat 4 yang bermaksud: “Pada malam itu dijelaskan segalaurusan yang penuh hikmah.”
Keistimewaan Lailatul Qadar
1- Malam diturunkannya al–Qur’an.
Ibnu ‘Abbas r.a berkata:
أنزل الله القرآن جملة واحدة من اللوح المحفوظ إلى بيت العِزّة من السماء الدنيا، ثم نزل مفصلا بحسب
الوقائع في ثلاث وعشرين سنة على رسول الله صلى الله عليه وسلم
“Al–Qur’an secara keseluruhan diturunkan dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah di langit dunia. Lalu diturunkan bertahap-tahap kepada Rasulullah s.a.w sesuai dengan peristiwa-peristiwa dalam jangka waktu 23 tahun.” (HR. Thobari, An Nasai, Al Hakim dan Al Baihaqi)
Syeikh As Sa’di rahimahullah berkata, “Allah itu menjadikan permulaan turunnya Al Qur’an adalah di bulan Ramadhan di malam Lailatul Qadar.” (Taisirul Karimir Rahman)
2- Malam yang lebih baik dari seribu bulan.
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
“Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan.” (Surah al–Qadar:3).
Majoriti ahli tafsir berpendapat bahawa maksud lebih baik dari seribu bulan adalah amalan kebajikan yang dikerjakan di dalamnya lebih baik dari amal kebajikan yang dilakukan selama seribu bulan yang di dalamnnya tidak ada Malam al-Qadar. (Al-Qurthubi, al-Jami’ li AhkamilQur’an)
3- Malam yang penuh keberkahan.
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).” (Surah ad-Dukhan: 3).
4- Turunnya para malaikat pada malam al-Qadar.
تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا
“Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril” (QS. Al Qadar: 4)
Turunnya para malaikat menandakan turunnya keberkatan dan rahmat Allah s.w.t pada malam tersebut. Malaikat Jibril disebut sebagai “Ar Ruuh” kerana Allah ingin menunjukkan kemuliaan malaikat Jibril berbanding malaikat-malaikat yang lain.
5- Malam pembebasan dari hukuman dan seksaan Allah s.w.t.
سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْر
“Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” Surah al-Qadar: 5)
Pada malam itu ramai yang akan terselamat dari hukuman dan seksaan Allah bagi merekayang bangun dan beribadah pada malam tersebut melakukan ketaatan pada Allah dan mengharapkan pengampunan-Nya.
6- Malam dicatatnya takdir tahunan.
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ
“Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah” (Surah ad–Dukhan: 4).
Dr. Sulaiman Al-Asyqar rahimahullah berkata: “Allah menetapkan pada malam al-Qadar segala apa yang akan terjadi selama satu tahun penuh seperti kematian dan kelahiran, kelapangan dan kesempitan rezeki, kebaikan dan keburukan, dan sebagainya; demikianlahmenurut Mujahid, Qatadah, dan Hasan.” (Zubdatut Tafsir Min Fathil Qadir)
7- Orang yang menghidupan malam tersebut akan diampunkan dosa-dosanya.
Dari Abu Hurairah, Nabi s.a.w bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa melaksanakan solat pada malam al-Qadar kerana keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. Bukhari )
Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa yang dimaksud kerana keimanan adalah membenarkan janji Allah iaitu pahala yang diberikan bagi orang yang menghidupkan malam tersebut. Sedangkan pengharapan bermakna mengharap pahala dari sisi Allah, bukan kerana mengharap yang lain seperti melakukan kerana riya’. (Fathul Bari)
Amalan Utama Lailatul Qadar
Malam al-Qadar dirahsiakan oleh Allah s.w.t. Namun Nabi s.a.w memerintahkan kita untukuntuk mencarinya di 10 malam terakhir di bulan Ramadan, lebih-lebih lagi di malam-malamyang ganjil. Apakah amalan-amalan yang boleh kita lakukan pada malam-malam yang tersebut ? Antara amalan yang boleh kita lakukan adalah:
1. Menunaikan solat wajib secara berjemaah, terutamanya solat Isyak dan Subuh
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang menunaikan solat Isyak secara berjemaah seolah-olah dia telahmenunaikan solat setengah malam dan barang siapa yang menunaikan solat Subuh secaraberjemaah seolah-olah dia telah menunaikan solat semalaman.” (HR. Muslim)
Imam Asy-Syafie rahimahullah berpendapat bahawa barangsiapa yang menunaikan solatisyak dan subuh secara berjemaah maka dia telah mendapatkan Lailatul Qadar.
2. Menunaikan solat Terawih dan Witir berjemaah.
Nabi s.a.w bersabda:
مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
“Barang siapa yang menunaikan solat Imam sehingga sesesai maka akan dicatatkan baginyapahala solat semalaman.” (HR. Tirmizi)
3. Memperbanyakkan berdoa meminta keampunan.
Antara doa utama yang patut dibaca adalah doa yang diajarkan Rasulullah s.a.w kepada‘Aisyah r.a apabila beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w apakah yang perlu diucapkan jikadipertemukan dengan malam al-Qadar. Doa tersebut adalah:
للَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى
Yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akankeampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” (HR. Tirmizi)
4. Menunaikan solat malam.
Solat malam atau solat Tahajjud adalah solat yang dilakukan di sepertiga malam setelahbangun dari tidur. Maka solat Tahajjud adalah antara amalan utama yang sangat dianjurkanpada sepuluh malam terakhir Ramadan. Nabi s.a.w bersabda:
مَنْ قَامَ رمضان إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Yang bermaksud: “Barangsiapa yang menunaikan solat malam di bulan Ramadan denganpenuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Muslim)
Bagaimana bagi para Wanita yang sedang dalam Haid atau mereka yang sedang bertugas?
Di dalam kaedah fiqh ada mengatakan:
مَا لاَ يُدْرَكُ كُلُّهُ لاَ يُتْرَكُ جُلُّهُ
Yang bermaksud: “Apa-apa yang tidak dapat dilakukan sepenuhnya, jangan ditinggalkan semuanya.”
Bagi Wanita yang sedang dalam keadaan Haid jangan berputus asa, tetaplah bangun pada malam-malam tersebut dan memperbanyakkan berdoa, berstighfar dan berzikir kepadaAllah. Kerana ia antara amalan yang masih boleh dikerjakan. Begitu juga bagi mereka yang sedang bertugas, cubalah untuk mencari kesempatan di celah-celah waktu yang ada untukberdoa dan meletakkan harapan dengan penuh keimanan agar diampunkan Allah s.w.t.
Apa yang penting bukanlah kuantiti ibadah kita, tetapi kesungguhan kita untuk merebut peluangyang diberikan sedaya yang mampu agar mencapai kriteria orang-orang yang diampunkanAllah s.w.t pada malam yang penuh keberkatan, malam al-Qadar. Moga Allah s.w.t menerima segala amal ibadah kita di bulan yang mulia ini dan diampunkan dosa-dosa yang telah lalu. Amin Ya Rabbal Alamin.