Hikmah Berpuasa Bulan Ramadan

Renungan dan hikmah daripada pensyariatan rukun Islam yang ketiga

Bulan Ramadan adalah bulan yang disyariatkan untuk menahan lapar dan dahaga. Tidak kira di mana dia berada, entah di Singapura, Eropah, Amerika, Afrika bahkan di kutub Utara dan Selatan, semuanya diwajibkan untuk menjalani ibadah yang sama, yakni berpuasa.

Umumnya kita mengetahui bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala, tidak menyuruh, tidak pula melarang ataupun mencipta sesuatu bagi makhluknya melainkan di dalamnya terdapat sebuah hikmah yang sangat besar, meskipun kita tidak tahu apakah hikmah dari sesuatu perkara, namun sebagai seorang muslim kita diharuskan mengikuti perintah dan menjauhi larangan Allah ta’ala.

Di dalam bulan Ramadan pula, terdapat banyak hikmah yang mungkin akan kami kongsikan beberapa darinya di dalam penulisan artikel kali ini insha Allah.

Antara hikmahnya adalah seperti berikut:

  1. Puasa adalah suatu bentuk persembahan seorang hamba demi mendapatkan keredhaan Allah ta’ala, yakni ia terwujud dengan mengorbankan keinginan peribadi dengan menahan makan dan minum serta menahan hawa nafsu semata-mata untuk mengikuti perintah dan menjauhi larangan Allah ta’ala.

Diriwayatkan dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhu:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : قَالَ اللَّهُ : كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

Rasulullah Shallallahu’alai wa sallam bersabda, “Allah berfirman, ‘Semua amal anak Adam untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.” (HR. Bukhari & Muslim).

  1. Puasa adalah suatu sarana untuk mencapai ketakwaan, firman Allah ta’ala:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa”. (Al-Baqarah: ayat 183)

Dari ayat ini dapat kita ketahui bahawa puasa adalah salah satu cara untuk mencapai ketakwaan kepada Allah, dan Taqwa adalah melakukan apa yang diperintahkan Allah subhanahu wa ta’ala serta meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

  1. Puasa adalah wasilah untuk mensyukuri nikmat-nikmat Allah ta’ala, suatu nikmat yang halal seperti makan, minum dan hubungan suami isteri pada hari-hari biasa yang diperbolehkan bagi seorang muslim, tiba-tiba menjadi haram di pagi hari pada bulan Ramadan. Kita tidak menghargai sesuatu kecuali jika telah kehilangannya. Begitu juga dengan nikmat-nikmat yang telah Allah berikan pada kita selama ini, agar kita menjadi hamba-Nya yang bersyukur.
  2. Puasa adalah jalan untuk meninggalkan keharaman, seorang muslim melakukan apa yang diperintahkan Allah ta’ala serta meninggalkan larangan-Nya semata-mata demi mengharapkan keredhaan Allah ta’ala serta takut akan azab-Nya yang sangat pedih.
  3. Ketika berpuasa, seorang muslim dilatih untuk mengalahkan hawa nafsu mereka, kerana Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam menerangkan bahawa puasa adalah perisai bagi seorang muslim dari melakukan kemaksiatan, kerana dengan berpuasa maka ia dapat menekan syahwatnya. Puasa dapat membebaskan seseorang daripada belenggu hawa nafsu serta penghambaan kepada dunia, kerana ia dapat mendidik seseorang untuk mengawal tabi’at nalurinya serta mengajarkannya bahawa kebebasan yang dimilikinya terbatas dengan hukum-hakam yang telah disyari’atkan oleh Allah ta’ala.
  4. Puasa melahirkan rasa belas dan ihsan terhadap orang miskin, dengan berpuasa seseorang akan merasakan kelaparan sebagaimana orang-orang yang tidak berpunya. Dengan berpuasa juga dapat melahirkan rasa simpati, sifat kelembutan dan belas kasihan kepada mereka.
  5. Dalam zakat fitrah yang diwajibkan bagi setiap muslim misalnya, diwajibkan untuk membayarnya sebelum dimulakannya solat Aidil Fitri, sehingga orang-orang miskin dapat merasakan kebahagiaan itu bersama-sama ketika Hari Raya. Ini secara tidak langsung mendidik jiwa kebersamaan baik secara zahir mahupun batin.
  6. Dengan berpuasa, seorang muslim dapat mengalahkan bisikan syaitan serta melemahkan hawa nafsunya. Ini kerana ketika seseorang menahan lapar dan dahaga, dirinya tidak lagi memikirkan urusan di luar urusan perutnya. Sebaliknya ketika dia kekenyangan, maka mulalah bisikan syaitan mengajaknya kepada kemaksiatan.
  7. Orang yang berpuasa selalu merasa dirinya diperhatikan Allah ta’ala, dia mampu untuk berbuka di rumahnya jika tiada yang melihatnya, tapi dia yakin bahawa Allah Maha Melihat dan dia takut dengan azab-Nya di akhirat kelak. Maka dari itu, secara tidak langsung hakikatnya tanpa sedar dia sedang melatih dirinya untuk takut dengan Allah ta’ala di setiap tempat dan masa.
  8. Di bulan Ramadan, seorang muslim dianjurkan untuk memperbanyak ibadah, dari membaca Al-Qur’an, solat sunnah bahkan sehingga solat malam. Bahkan begitu banyak dalil dari hadith dan athar bahawa Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam lebih banyak bersedekah, melaksanakan solat dan membaca Al-Qur’an dibandingkan bulan-bulan yang lain.

 

Dan banyak lagi hikmah-hikmah berkaitan kelebihan berpuasa yang belum kami sebutkan baik yang nampak mahupun yang tidak nampak. Dari sisi medik misalnya, dikatakan saluran pencernaan di dalam perut yang telah berkerja selama hampir setahun memerlukan rehat dari berkerja memproses makanan yang tidak pernah berhenti kita gunakan setiap harinya. Dengan berpuasa, ia dapat menjaga kesihatan kita dan mengelak dari sakit di hari tua nantinya.

Para pembaca yang dirahmati Allah ta’ala, jika mampu kami analogikan bahawa bulan Ramadan ini pada hakikatnya bagaikan sebuah madrasah ataupun sekolah untuk kita menjadi seseorang yang lebih baik.

Kalaulah sekiranya, orang rela membayar beratus-ratus bahkan beribu ringgit demi mengikuti kursus tertentu agar menjadi individu yang lebih baik serta efektif dalam perkerjaan mahupun kehidupan hariannya, di bulan Ramadan ini jika kita memanfaatkan fadilat amalan-amalan di dalamnya, insha Allah kita dapat menjadi peribadi yang lebih baik dari kursus-kursus yang disediakan oleh pihak-pihak tertentu tadi.

Ini kerana Guru Besar dalam madarasah ini adalah Allah ta’ala, para pengawasnya adalah para malaikat yang mencatat setiap amal kita. Membaca Al-Qur’an di dalamnya dilipat gandakan pahalanya, begitu pula dengan solat sunnah, solat tarawih, solat berjema’ah di Masjid, bahkan tidur sahaja di dalam bulan Ramadan ini mendapatkan pahala, apatah lagi dengan amalan-amalan yang sememangnya dianjurkan di dalamnya.

Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma berkata:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل ، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيُدارسه القرآن ، فالرسول الله صلى الله عليه وسلم أجودُ بالخير من الريح المرسَلة

“Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melebihi angin yang berhembus.” (HR. Bukhari).

Dari hadith di atas dapat kita lihat, bahkan Rasulullahu shollahu ‘alaihi wa sallam, kekasih Allah yang sudah pasti mendapat jaminan syurga dengan rahmat-Nya, dengan jaminan tersebut masih tetap tidak berhenti mengejar untuk beramal di dalamnya, ini menunjukkan betapa besar fadilat kebaikan yang mampu didapatkan seorang muslim di dalam bulan yang mulia ini.

Namun, perlu diingat dengan segala hikmah dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadan ini, perlu bagi kita untuk menjaga diri dari melakukan dosa. Meskipun syaitan-syaitan telah terbelenggu, namun ini tidak menafikan kemampuan seseorang untuk bermaksiat.

Rasulullah shollahu alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ اَلزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ, وَالْجَهْلَ, فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ – رَوَاهُ اَلْبُخَارِيُّ, وَأَبُو دَاوُدَ وَاللَّفْظُ لَهُ

“Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan haram, juga melakukan maksiat dan melakukan perkara jahil, maka Allah tidak lagi peduli pada makan dan minum yang dia tinggalkan.” (HR. Bukhari & Abu Daud)

Maka dari itu, janganlah kita menyia-nyiakannya dengan maksiat sehingga puasa kita hanyalah berupa lapar dan dahaga tanpa pahala dari Allah ta’ala. Seyogyanya bagi setiap muslim memanfaatkan “Madrasah Ramadan” ini dengan sebaik-baiknya hingga akhirnya dia dapat keluar darinya menjadi individu peribadi yang lebih baik bagi ummah, masyarakat dan negara.

Disclaimer

The views, opinions, findings, and conclusions expressed in these articles are strictly those of the authors. Furthermore, Al-Falah Mosque does not endorse any of the personal views of the authors on any platform. Our team is diverse on all fronts, allowing for constant, enriching dialogue that helps us produce high-quality content.

Support Our Dakwah

Your donation will allow us to produce more programs & Islamic content that will bring benefits to the Muslim community in Singapore. The Messenger of Allah ﷺ said, “Verily, Allah is generous, and He loves generosity and exalted character.”
Donate