Hikmah Zakat Fitrah

 

Fungsi dan manfaat zakat fitrah buat masyarakat Islam

Zakat Fitrah dan Bezanya dengan Zakat Harta.

Definisinya: Zakat fitrah adalah suatu zakat yang telah ditentukan nilainya atas setiap muslim yang dibayar sebelum solat Aidil Fitri, ia diwajibkan ke atas setiap orang yang beriman, baik kecil mahupun besar, lelaki dan perempuan, seorang yang merdeka mahupun hamba sahaya.

Ibnu Umar r.a berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ

“Sesungguhnya Rasulullah sallahu ‘alaihi wa sallam mewajibkan zakat fitrah selepas Ramadan” (HR. Bukhari).

Berbeza dengan zakat harta (zakat maal), zakat fitrah bukan sahaja diwajibkan atas orang kaya, tapi juga pada orang miskin yang memiliki makanan lebih dari satu sho’ selama sehari semalam ketika hari raya.

Sekiranya zakat harta berupa 2.5% dari jumlah keseluruhan harta seorang muslim yang sudah mencapai nishob (kadar kewajipan zakat) bersamaan dengan 85 gram emas atau 595 gram perak yang sudah disimpan selama setahun hijriyyah, maka zakat fitrah pula pada asalnya berupa makanan pokok suatu masyarakat seperti kurma, gandum beras dan lain-lain sebanyak satu sho’, yakni bersamaan dengan 2.43 kg – 2.73 kg (dilihat dari jenis berasnya), sekiranya digenapkan 3 kg maka itu lebih baik kerana ia lebih berhati-hati.

Siapakah yang wajib membayar zakat?

Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wa sallam mewajibkan zakat fitrah (dengan timbangan) sho’ dari kurma, atau sho’ dari gandum kepada setiap hamba sahaya ataupun orang merdeka, lelaki mahupun wanita, kanak-kanak mahupun dewasa, dari kalangan kaum muslimin.” (HR. Bukhari)

Zakat Fitrah adalah sebuah kewajipan kepada setiap muslim, dari orang dewasa hingga kanak-kanak bahkan bagi bayi yang baru lahir dan menyusu. Ia wajib ditunaikan oleh setiap muslim yang mampu mengeluarkan zakat fitrah, diwajibkan bagi ketua keluarga bagi ahli keluarga yang berada di bawah tanggungan nafkahnya, seperti ayah kepada anak-anaknya mahupun suami kepada isterinya.

Kepada siapa ia disalurkan?

Abdullah bin Abbas r.a berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wa sallam mewajibkan zakat fitrah, sebagai pembersih bagi orang yang puasa dari segala perbuatan sia-sia dan ucapan jelek serta sebagai makanan bagi orang miskin.” (HR. Abu Daud  & Ad-Daruquthni)

Zakat Fitrah sebaiknya diberikan kepada orang fakir miskin di negeri kita tinggal, boleh juga melalui badan-badan rasmi mahupun yayasan yang dapat dipercayai mampu menyalurkan kepada yang berhak. Atau jika dia mengenali orang-orang miskin di sekitar rumahnya, maka dia sendiri boleh menyalurkannya.

Cara mengetahui seseorang itu miskin adalah dengan mengetahui ketidak-cukup seseorang dalam menghidupi dirinya dalam hariannya, bak ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bila waktu membayar zakat fitrah?

Pada asalnya dibayar ketika sedang keluar untuk melaksanakan solat Aidil Fitri berdasarkan hadith:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِزَكَاةِ الفِطْرِ قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

“Bahwa Rasulullah sollahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan zakat fitrah untuk dibayarkan sebelum orang ramai keluar menuju ke solat (solat eid).” (HR. Bukhari)

Namun dapat juga dilaksanakan pada satu-dua hari sebelum hari raya berdasarkan atsar perbuatan sebahagian sahabah Rasululllah, bahkan menurut majoriti ulama’ Syafi’iyyah dapat ditunaikan di awal bulan Ramadan, namun Imam An-Nawawi mengatakan dianjurkan untuk membayarkan zakat fitrah sebelum keluar menuju solat hari raya berdasarkan hadith di atas.

Namun perlu ditegaskan di sini untuk tidak melewatkannya sehingga setelah solat aidil fitri, bagi siapa yang takut terlambat atau terlupa oleh kesibukan hariannya, maka diperbolehkan untuk membayarnya beberapa hari sebelum hari raya.

Rasulullah sallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ، فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ، وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ، فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ

Barangsiapa yang menunaikan zakat fitrah sebelum shalat eid, maka zakatnya diterima, dan barangsiapa yang memberikannya setelah shalat eid, maka ia hanyalah sedekah biasa.” (HR. Abu Daud & Ibn Majah).

Hikmah Zakat Fitrah:

Ibnu Abbas meriwayatkan:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari bersenda gurau dan kata-kata keji, dan juga untuk memberi makan orang miskin.” (HR. Abu Daud & Ibnu Majah).

Melihat dari hadith di atas, antara hikmah yang dapat kita ambil dari zakat fitrah adalah sebagai berikut:

  1. Dapat mensucikan perbuatan sia-sia yang tidak berfaedah ataupun perkataan buruk seperti mengejek, bergurau yang berlebihan yang dilakukan oleh orang yang berpuasa sama ada dia sedar mahupun tidak selama sebulan berpuasa.
  2. Selain itu dengan zakat fitrah, ia juga dapat menanam rasa bahagia kepada orang-orang miskin menjelang hari raya, secara tidak langsung si pemberi juga mendapatkan pahala itu serta menimbulkan kasih sayang kepada sesama.
  3. Ia adalah zakat untuk tubuh-badan atas pemberian Allah kepada hamba-Nya sepanjang tahun, maka dari itu zakat diwajibkan juga kepada anak-anak kecil dan orang gila yang tidak diwajibkan berpuasa atas wali yang menjaganya.
  4. Antara hikmah yang lain, dengan zakat fitrah juga dapat memberi makan orang miskin di hari raya sehingga mereka tidak perlu mengemis meminta-minta di hari perayaan kaum muslimin.
  5. Ia adalah suatu bentuk rasa syukur untuk menyempurnakan puasa kita selama sebulan. Pastinya dengan kelemahan kita sebagai manusia, banyak dosa yang kita lakukan baik sedar mahupun tidak, maka dengan zakat fitrah secara tidak langsung sesuai hadith yang telah disebutkan sebelumnya, dapat membersihkan kotoran-kotoran tersebut.

Semoga Allah menerima amalan kita semua.

Disclaimer

The views, opinions, findings, and conclusions expressed in these articles are strictly those of the authors. Furthermore, Al-Falah Mosque does not endorse any of the personal views of the authors on any platform. Our team is diverse on all fronts, allowing for constant, enriching dialogue that helps us produce high-quality content.

Support Our Dakwah

Your donation will allow us to produce more programs & Islamic content that will bring benefits to the Muslim community in Singapore. The Messenger of Allah ﷺ said, “Verily, Allah is generous, and He loves generosity and exalted character.”
Donate