Mengikuti di sini dalam Bahasa Arab disebut dengan Ittiba’ (الاتباع) yang membawa maksud meneladani Rasulullah shollahu alaihi wasallam dalam kepercayaan, perkataan dan perbuatan serta meninggalkan apa yang dilarang oleh baginda dengan niat dan kemahuan di dalam perbuatan itu semua, seperti mana Firman Allah ta’ala:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
(Surah Al-Ahzab Ayat 21)
Seseorang tidak dikatakan mencintai sehingga dia benar-benar mengikuti, tidak dikira mengikuti sehingga meneladani setiap perintah serta menjauhi segala larangan dari orang yang dia cintai.
Sementara mengikuti dan meneladani tuntunan Rasulullah pula adalah salah satu sebab kebahagiaan sebagaimana pula meninggalkan perintah nya adalah punca kesengsaraan seseorang.
Allah ta’ala berfirman:
وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا
“Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.”
(Surah Al-Ahzab Ayat 71)
Bahkan mengikuti sunnah Rasulullah adalah kunci menuju ke syurga, dalam sahih Bukhari, Rasulullah shollahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Setiap ummatku masuk ke syurga kecuali mereka yang enggan. Mereka (para sahabat) berkata: Siapa yang enggan wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Sesiapa yang mentaati ku akan masuk syurga, dan Barangsiapa yang menderhaka kepadaku, sesungguhnya dia telah enggan.”
Para pembaca yang dirahmati Allah ta’ala: buah dari mengikuti sunnah Rasulullah ada banyak, akan kami sebutkan beberapa kelebihannya di sini inshaAllah:
- Mendapatkan cinta dari Allah ta’ala, ini kerana dengan mendekati Allah ta’ala melalui sunnah-sunnah Rasulullah akan mendapatkan cinta dari Yang Maha Pencipta.
- Mendapatkan pertolongan dari Allah ta’ala, seperti mana yang disebutkan sebelumnya, mereka yang mengikuti sunnah Rasulullah akan mendapatkan cinta, dan mereka yang mendapatkan cinta akan mendapatkan pertolongan dari Allah ta’ala.
- Mendapatkan doa yang mustajab, mereka yang dicintai Allah akan dikabulkan doa dan harapan mereka.
Semua ini terangkum dalam Hadith Qudsi yang bermaksud:
“Dan tidaklah seorang hamba mendekat kepada Ku yang lebih Aku cintai daripada apa- apa yang telah Aku fardhu kan kepadanya. Hamba Ku terus-menerus mendekat kepada Ku dengan ibadah-ibadah sunnah hingga Aku pun mencintainya. Bila Aku telah mencintainya, maka Aku pun menjadi pendengarannya, yang dia gunakan untuk mendengar, menjadi penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, menjadi tangannya yang dia gunakan untuk berbuat, dan menjadi kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Bila dia meminta kepada Ku, Aku pasti memberinya dan apabila dia meminta perlindungan kepada Ku, Aku pun pasti akan melindunginya.” (HR. Bukhari). - Orang yang menjaga sunnah-sunnah Rasulullah, akan sangat jarang terlepas yang wajib mahupun yang fardhu, sebagai contoh mereka yang menjaga solat sunnah rawatib qobliyyah dan ba’diyyah, pastinya tidak akan meninggalkan solat yang wajib.
- Orang yang memegang sunnah Rasulullah dengan ikatan yang kuat, hampir tidak akan jatuh ke dalam perkara-perkara baru yang diadakan dalam agama. Ini kerana hakikatnya sunnah Rasulullah dalam rutin harian kita sahaja terlalu banyak dan masih belum semua mampu kita lakukan, bagaimana pula hendak melakukan perkara di luar tuntunan Rasulullah?
Sebelum kami mengakhiri penulisan ini, mari bersama kita renungi dua wasiat dari Imam An-Nawawi rahimahullah berkaitan bagaimana kita beramal dengan sunnah-sunnah Rasulullah shollahu alaihi wasallam:
Pertama: Jangan pernah sekalipun kamu meninggalkan sunnah Rasulullah kecuali sekurang- kurangnya kamu pernah melakukannya walaupun sekali di dalam hidupmu.
Kedua: Sekiranya Allah ta’ala mengurniakan taufiq bagimu untuk melaksanakan ketaatan, dan kamu termasuk dari mereka yang rajin mengerjakannya, jika kamu melewatkan sunnah itu pada hari itu (tidak mengerjakannya) usahakan lah untuk meng-qadha’kannya, ini kerana jika seorang hamba terbiasa melewatkannya dan bermudah-mudahan di dalamnya, maka dia pastinya akan menyia-nyiakan Amalan tersebut dengan tidak mengerjakannya pada masa hadapan.
Penulis memohon dari Allah ta’ala agar menjadikan kita semua dari mereka yang termasuk dalam mengikuti tuntunan sunnah-sunnah Rasulullah shollahu alaihi wasallam serta menjadi kita sebagai ummat yang mencintai baginda sehingga kita dapat bertemu dengan baginda di telaganya kelak. Amin ya rabbal alaamiin.
Nota: Tulisan ini hanyalah sebahagian dari intisari kepentingan dalam mengikuti sunnah-sunnah baginda Nabi Muhammad Shollahu ‘alaihi wa sallam. Bagi yang berminat untuk mendalami lagi, dapat membacanya di buku Al-Minah Al-‘Aliyyah Fi Bayan As-Sunnan An-Nabawiyyah karangan Dr. Abdullah bin Humoud Al-Furaih.