Menghargai Kepentingan Masa & Waktu

 

Bagaimana harus kita menghargai masa yang dikurniakan Allah s.w.t?

Rasulullah sollahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ ، الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ”

“Ada dua kenikmatan yang banyak dilupakan oleh manusia, iaitu nikmat kesihatan dan waktu kosong”. (Muttafaqun ‘alaih)

Jika kita melihat kembali bagaimana Rasulullah ﷺ dan para sahabah baginda radiallahu ‘anhum memanfaatkan waktu dalam rutian harian mereka, maka dapat kita lihat, mereka tidak pernah mensia-siakan waktu kecuali untuk dua perkara.

Pertama, perkara akhirat iaitu dengan memperbanyak ibadah, termasuk menuntut yang sunnah mahupun yang wajib, begitu juga termasuk di dalamnya menuntut ilmu dari Rasulullah ataupun berdakwah dengan mengajarkan ilmu tersebut. Perkara yang kedua adalah perkara dunia, yakni dengan berkerja mencari rezeki. Mereka tidak membuang waktu seperti mana yang kita lihat manusia pada zaman ini.

Sebagai seorang muslim, kita hendaklah menghargai setiap saat yang diberikan Allah ta’ala kepada kita seperti mana telah menjadi kewajipan untuk kita memanfaatkannya ke dalam ketaatan kepada Allah. Ini kerana jika waktu kosong yang dimiliki seseorang tidak dimanfaatkan didalam ketaatan, maka ia akan dimanfaatkan dalam kemaksiatan.

Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah dalam kitabnya Al-Jawaabul Kaafi menceritakan bahawa Imam As-Shafi’e rahimahullah berkata:

“الْوَقْتُ كاَلسَّيْفِ، فَإِنْ قَطَعْتَهُ وَإِلَّا قَطَعَكَ ، وَنَفْسُكَ إِنْ لَمْ تَشْغَلْهَا بِالْحَقِّ وَإِلَّا شَغَلَتْكَ بِالْبَاطِلِ”

“Waktu itu bagaikan pedang, jika engkau tidak menggunakannya maka ia yang akan menebasmu, dan dirimu jika tidak disibukkan dengan kebaikan, pasti akan tersibukkan dengan hal yang sia-sia.”

Begitu pentingnya waktu itu sehinggakan dalam peribahasa kita menggambarkannya sebagai emas, tapi hakikatnya kita suka membuang-buang emas tanpa sedar dengan menghabiskan masa menonton wayang, siri televisyen, bermain media sosial dan perkara-perkara tak bermanfaat yang lain.

Bagaimana dapat kita menyia-nyiakan waktu seperti itu sedangkan usia kita berkurang setiap hari. Tanpa kita sedar tahun demi tahun berlalu, sedangkan amalan kita tidak pula bertambah. Bagaimana jika tiba-tiba malaikat maut datang menjemput kita? Bagaimana kita mampu yakin dalam keadaan bermaksiat Allah tidak mengambil nyawa kita.

Sahabat Baginda  Abdullah Ibnu Mas’ud r.a berkata:

“مَا نَدِمْتُ عَلَى شَيْءٍ نَدَمِي عَلَى يَوْمٍ غَرَبَتْ شَمْسُهٌ اقْتّرَبَ فِيهِ أَجَلِي وَلَمْ يَزْدَدْ فِيهِ عَمَلِي”

“Tidak ada yang pernah kusesali selain keadaan ketika matahari tenggelam sedangkan ajalku berkurang, namun amalku tidak bertambah”.

Saudaraku, sesungguhnya mereka yang tertipu dengan waktu yang kosong ini pada hakikatnya dia sedang tertipu. Dia tidak tahu bahawa Allah ta’ala sedang mengujinya dengan kenikmatan tersebut, sehingga dia termasuk dalam tanda-tanda orang yang dijauhi Allah subhanahu wa ta’ala. 

Meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat:

Ulama’ Tabi’in Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah berkata:

“مِنْ عَلَامَةِ إِعْرَاضُ اللهِ عَنِ العَبْدِ أَنْ يَجْعَلَهُ شُغْلَهُ فِيمَا لَا يَعْنِيهِ خُذْلَانًا مِنَ اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ”

“Diantara tanda Allah berpaling dari seorang hamba, Allah menjadikannya sibuk dalam hal yang sia-sia sebagai tanda Allah menelantarkannya”.

Saudaraku, setiap kenikmatan yang Allah berikan pada kita, termasuk waktu kosong yang kita miliki saat ini akan ditanya kelak di hari akhirat. Pernah Rasulullah sollahu ‘alaihi wa sallam selesai makan bersama kedua sahabat baginda, Abu Bakar dan Umar radiallahu ‘anhuma. Lalu baginda membacakan ayat Al-Qur’an:

“ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ”

“Kemudian kamu pasti akan ditanya tentang kenikmatan (yang kamu bermegah-megahan di dunia itu)”.

(At Takaatsur: 8)

Itu hanyalah makanan, bagaimana pula dengan nikmat-nikmat yang lain kita dapatkan saat ini? Termasuk waktu kosong yang kita habiskan di dalamnya untuk perkara sia-sia.

Kepentingan menjaga waktu:

Dalam sebuah hadith yang sering kita dengar, Rasulullah sollahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَ فَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ”

“Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara: masa mudamu sebelum datang waktu tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa kayamu sebelum datang masa kemiskinanmu, masa luangmu sebelum datang masa sibukmu, masa hidupmu sebelum datang masa kematianmu.”

(Al Hakim dalam Al Mustadrak)

Hadith ini juga menunjukkan secara spesifik Rasulullah menasihati kita untuk menjaga lima waktu ini: masa muda, sihat kaya, luang, dan hidup. Ini kerana lima hal tidaklah seseorang mengetahui akan kepentingannya kecuali setelah ia hilang.

Sebagai contoh, orang yang menjaga masa mudanya dengan amal soleh, maka ia akan terjaga oleh Allah ketika menjelang hari tuanya. Sebaliknya mereka yang sering bermaksiat ketika masa mudanya, akan disia-siakan Allah ketika dia sudah tua kelak.

Ulama’ salaf dulu berkata:

“كُنَّا نَتَوَاعَظُ فِي أَوَّلِ الإِسْلَامِ : يَا ابْنَ آدَمَ، اِعْمَلْ فِي فَرَاغِكَ قَبْلَ شُغْلِكَ، وَفِي شَبَابِكَ لِكِبَرِكَ، وَفِي صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَفَي دُنْيَاكَ لِآخِرَتِكَ. وَفِي حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ”

“Kami saling menasihati di awal-awal islam: Wahai manusia, beramallah di waktu luangmu sebelum datang waktu sibukmu, beramallah di waktu mudamu untuk masa tuamu, beramallah di waktu sihatmu sebelum datang sakitmu, beramallah di dunia untuk akhiratmu, dan beramallah ketika hidup sebelum datang matimu.”

(Hilyatul Auliya’)

Dalam hadith lain Rasulullah sollahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ المَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ”

“Di antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat” (HR. Tirmidzi & Ibnu Majah)

Matlamat menjaga waktu.

Adalah penting bagi seorang muslim untuk meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya, apatah lagi jika dia menghabiskan waktunya untuk bermaksiat. Andai waktu itu digunakan untuk hal-hal yang bermanfaat, maka itu lebih baik baginya. Sebagai contoh seperti menghadiri kursus-kursus peningkatan kemahiran, kursus bahasa asing, seminar-seminar yang dapat menjadikannya individu yang dapat memberi manfaat kembali kepada masyarakat dan negara.

Antara matlamat menjaga waktu bagi seorang muslim yang baik juga adalah agar dia dapat berperanan aktif dalam memberikan masyarakat manfaat yang seharusnya ada dalam setiap muslim, jika salaf terdahulu ketika bulan Ramadan misalnya berjuang di jalan Allah dalam keadaan berpuasa, bagaimana dengan kita saat ini.

Seorang muslim yang baik berusaha menjadi seorang yang produktif dan efektif dalam pekerjaan sehariannya, dan meyakini bahawa dalam setiap pekerjaannya sekiranya diniatkan untuk ibadah maka mendapatkan pahala dari Allah ta’ala.

Ketika dia berkerja di pejabat dia datang tepat waktu, menyelesaikan pekerjaannya sesuai kontrak dan janji yang telah disepakati sebelumnya, ketika waktu solat datang dia melaksanakan solat dan kembali kerja tanpa membuang-buang waktu. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kalian untuk menunaikan amanat kepada yang berhak”

(An Nisaa’: 58).

Rasulullah sollahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

“Tanda-tanda munafik itu ada tiga, jika berkata dia berdusta, jika berjanji dia mengingkari dan ketika diberi amanah, maka dia berkhianat” (Bukhari dan Muslim).

Jika kita mengaku sebagai muslim yang baik, tidak cukupkan dua dalil terakhir dari Al-Qur’an dan Al-Hadith ini menjadi bukti bahawa menepati amanah yang diberikan adalah bahagian dari muslim yang baik? Hendaknya setiap dari muslim mengetahui bahawa mereka adalah “Duta besar” bagi agamanya, orang lain akan melihat dan menilai dari perbuatannya.

Bagaimana jika mereka melihat seorang muslim yang malas, lalai, buat kerja sambil lewa? Apakah penilaian yang akan diberikan baginya dan agamanya? Sebaliknya jika dia melaksanakan pekerjaannya dengan baik, efektif, produktif di tempat kerjanya, berbuat baik dengan jirannya, berperanan aktif dalam membangun masyarakat majmuk di negaranya, memberikan setiap hak pada tempatnya tanpa membuang waktu-waktu kosong, maka tentunya orang lain akan memberikan penilaian yang baik baginya dan agamanya.

Disclaimer

The views, opinions, findings, and conclusions expressed in these articles are strictly those of the authors. Furthermore, Al-Falah Mosque does not endorse any of the personal views of the authors on any platform. Our team is diverse on all fronts, allowing for constant, enriching dialogue that helps us produce high-quality content.

Support Our Dakwah

Your donation will allow us to produce more programs & Islamic content that will bring benefits to the Muslim community in Singapore. The Messenger of Allah ﷺ said, “Verily, Allah is generous, and He loves generosity and exalted character.”
Donate