Pentingnya Ikhlas Dalam Beramal

Mengapa ikhlas penting dalam amal ibadah kita?

Ikhlas adalah satu ucapan yang mudah dilafazkan, namun untuk menerapkannya dalam kehidupan tidaklah semudah yang diucapkan. Ia memerlukan kepada ketaqwaan dan hati yang bersih. Ia merupakan asas dalam ajaran Islam sebagai dasar kepada pengabdian seorang hamba kepada Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Bayyinah, ayat 8:

وَمَا أُمِرُوا إِلا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”

Justeru kita dapat memahami bahawa pengertian ikhlas adalah melakukan sesuatu ibadah hanya kerana Allah s.w.t. Syeikh Muhammad bin Sholeh Al ‘Utsaimin rahimahullah berpendapat, erti ikhlas kerana Allah ialah apabila seseorang melaksanakan ibadah yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mencapai tempat kemuliaan-Nya.

Tidak dinafikan, untuk mengikhlaskan sesuatu amalan adalah perkara yang sulit. Namun dalam masa yang sama ia juga bukan perkara yang mustahil. Kenikmatan dan kesusahan dunia terkadang mengakibatkan kita lari daripada tujuan sesuatu amalan. Maka sebab itu, penting bagi seseorang untuk memperbetulkan niatnya dari mula, agar dia sentiasa kembali mengintrospeksi diri pada setiap amalan yang dikerjakan.

Nabi s.a.w bersabda di dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Umar Al-Khattab r.a:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat.” (HR Bukhari & Muslim)

Oleh itu untuk belajar menjadi orang yang ikhlas, maka perlu untuk kita memahami kelebihan dan kepentingan sifat yang terpuji ini.

1. Syarat sesuatu ibadah diterima

Ibadah memiliki syarat agar ia diterima Allah, iaitu ikhlas keranaNya dan tidak menyekutukanNya. Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Al-Mulk ayat 2:

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

Yang bermaksud: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

Fudhail bin ‘Iyaad rahimahullah berkata ketika menafsirkan “yang lebih baik amalnya” maksudnya adalah yang paling ikhlas dan yang paling benar (mengikuti Sunnah Nabi s.a.w) Kemudian beliau berkata: “Apabila amal dilakukan dengan ikhlas namun tidak mengikuti ajaran Nabi s.a.w, amalan tersebut tidak akan diterima. Begitu pula, apabila suatu amalan dilakukan mengikuti ajaran Nabi s.a.w namun tidak ikhlas, maka amalan tersebut juga tidak akan diterima.” (Tafsir al-Baghowi)

2. Cerminan hati manusia

Hati yang baik menjaminkan amalan yang baik, hati yang bersih akan menyebabkan amalan lain diterima.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِنَّ اللَّهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Dari Abu Hurairah, ia berkata bahwa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak melihat pada bentuk rupa dan harta kamu. Akan tetapi, Allah melihat pada hati dan amalan kamu.” (HR. Muslim)

Orang yang memiliki hati ikhlas akan mengerjakan sepenuh hati tanpa ada rasa malas atau bosan ketika melakukan sesuatu amalan. Bahkan beliau tidak akan merasa terlalu gembira apabila dipuji atau benci apabila dikeji manusia kerana dia hanya ingin dipandang Allah s.w.t.

3. Mendapat perlindungan di hari kiamat

Abu Hurairah mengatakan Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada tujuh golongan yang akan dilindungi Allah pada hari kiamat, di hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya. Imam yang adil, pemuda yang tumbuh dalam peribadatan kepada Allah, seorang lelaki yang berzikir kepada Allah dalam sendirian kemudian menitiskan air mata, seorang lelaki yang hatinya selalu terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang mencintai kerana Allah; berjumpa dan berpisah kerana Allah.  Seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita cantik untuk berzina lalu ia berkata sesungguhnya aku takut kepada Allah dan seorang lelaki yang bersedekah secara rahsia sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan tangan kanannya.” (HR An-Nasa’i dan Ibnu Hibban).

Jika diperhatikan di dalam hadith ini, kesemua golongan yang disebutkan adalah orang-orang yang melakukan sesuatu amalan kerana Allah dan bukan kerana pujian manusia. Orang-orang inilah yang akan mendapat perlindungan Allah s.w.t di akhirat nanti.

4. Jauh dari sifat munafik

Orang yang ikhlas tidak akan riak dalam melakukan amal kebaikan. Riak dalam islam merupakan ciri-ciri sifat orang munafik. Bahkan sifat riak ini boleh menyebabkan sesebuah ibadah itu ditolak apabila beramal hanya kerana inginkan pujian atau dipandang manusia.

Dalam sebuah hadith, Baginda s.a.w. mengingatkan para sahabat balasan bagi orang riak adalah termasuk di dalam melakukan dosa syirik, beliau bersabda yang bermaksud:

“Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik kecil. Para sahabat bertanya, “Apakah syirik kecil itu wahai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Itulah riak, Allah S.W.T. akan berkata pada hari kiamat kelak, pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu).” – HR Ahmad

5. Mendapat petunjuk Allah

Kita lihat kisah pemuda Ashabul Kahfi yang melarikan diri mereka ke dalam gua. Mereka adalah golongan mempertahankan keimanan mereka di tengah-tengah kesesatan manusia dan cuba memperbaiki diri mereka. Lalu menyebut mereka sebagai orang-orang yang benar dan diberikan petunjuk.

نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّۚ إِنَّهُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَٰهُمۡ هُدٗى

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (al-Kahfi ayat 13)

6. Menjadikan sebuah amalan bernilai besar

Pahala amalan itu tidak hanya tergantung pada banyaknya amalan sahaja, tetapi ia bergantung pada niat dan keikhlasan seseorang. Amalan yang kecil boleh menjadi besar jika niat dengan ikhlas, begitu juga sebaliknya amalan yang besar boleh menjadi kecil kerana niat yang kurang ikhlas.

Ibn al-Mubarak berkata: “Betapa banyak amalan yang kecil menjadi besar (pahalanya) kerana niat. Dan betapa banyak amalan yang besar menjadi kecil (pahalanya) kerana niat.” (Al-Jami’ Ulum wal Hikam)

7. Dijauhkan dari syaitan

Ketika Iblis ingkar kepada perintah Allah dan diusir dari syurga, beliau meminta kepada Allah untuk kekal hidup hingga datang hari kiamat untuk menyesatkan manusia, kecuali orang-orang yang ikhlas tidak melakukan kesyirikan. Allah s.w.t merakamkan kata-kata iblis ini di dalam Surah al-Hijir ayat 39-40

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

Yang bermaksud: “Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik.”

Semoga Allah s.w.t sentiasa memberikan kita kesedaran untuk memiliki sifat ikhlas dalam diri kita dan diredhai Allah pada setiap amalan yang kita kerjakan untuk-Nya.

Disclaimer

The views, opinions, findings, and conclusions expressed in these articles are strictly those of the authors. Furthermore, Al-Falah Mosque does not endorse any of the personal views of the authors on any platform. Our team is diverse on all fronts, allowing for constant, enriching dialogue that helps us produce high-quality content.

Support Our Dakwah

Your donation will allow us to produce more programs & Islamic content that will bring benefits to the Muslim community in Singapore. The Messenger of Allah ﷺ said, “Verily, Allah is generous, and He loves generosity and exalted character.”
Donate

Related Articles