Nabi kita Muhammad Shollahu ‘alaihi wa sallam dengan gelaran baginda sebagai utusan dan kekasih Allah, manusia terbaik di atas muka bumi ini, pemilik akhlak yang mulia serta sifat zuhud dan rasa takut yang mendalam kepada Tuhan yang Maha Esa, baginda juga ahli ibadah yang tidak henti-henti dan berterusan beribadah kepada Allah ta’ala siang dan malam, dengan semua kebaikan yang disebutkan tadi, itu semua tidak menghalang baginda untuk berlaku baik kepada ahli keluarganya.
Bahkan baginda adalah sosok mulia yang paling baik dengan ahli keluarganya dan mengajak ummatnya untuk berakhlak baik juga dengan ahli keluarga masing-masing, dari ibunda kaum Mukminin Aisyah radiallahu ‘anha, Rasulullah shollahu alaihi wasallam bersabda:
خَيْرُكم خَيْرُكم لأهْلِه، وأنا خَيْرُكم لأهْلي
“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik pada keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik pada keluargaku.”
(HR. Tirmidzi)
Para pembaca yang dirahmati Allah, inilah contoh terbaik dari baginda Rasulullah, Barangsiapa yang ingin bersama baginda di syurga Allah kelak, sudah seharusnya mengikuti arahan baginda. Berapa ramai ummatnya saat ini yang ketika di luar dia dihormati, disegani dan dicintai oleh orang-orang di sekelilingnya, tapi ketika di rumah bersama ahli keluarganya dia menjadi individu yang kasar dan tidak memiliki rasa kasih dan sayang. Padahal, Rasulullah sudah memberikan tolak ukur orang yang terbaik adalah mereka yang paling baik pada ahli keluarganya.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah radiallahu ‘anha juga:
مَا ضرَبَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيهِ وَسَلَّمَ شيئًا قَطٌّ بِيَدِهِ، وَلَا امْرَأَةً وَلَا خادمًا، إِلاَّ أَن يُجَاهِدَ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَمَا نِيلَ مِنهُ شيءٌ قَطٌّ فَيَنتَقِمَ مِن صَاحِبِهِ، إِلَّا أَن يُنتَهَكَ شيءٌ مِن مَحَارِمِ اللهِ تَعَالَى، فَيَنتَقِمَ لِله عَزَّ وَجَلَّ
Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam tidak pernah memukul apa pun dengan tangannya sama sekali, tidak isteri dan tidak pula pembantu, kecuali ketika baginda berjihad di jalan Allah. Dan tatkala baginda disakiti, maka tidak pernah baginda membalas pelakunya sedikit pun, kecuali apabila dilanggar satu hal yang Allah haramkan, maka baginda membalas karena Allah ‘azza wa jalla
(HR . Muslim)
Perhatikan bagaimana kesaksian isteri Rasulullah terhadap akhlak baginda dalam memperlakukan ahli keluarganya bahkan pembantunya. Kita dapat melihat juga bahawa baginda tidak pernah membalas dendam terhadap perbuatan jahat orang lain kepadanya, melainkan jika perkara itu melanggar hukum Allah ta’ala.
Antara kesaksian serupa juga dinyatakan oleh pembantu sekaligus sahabat rapat baginda, Anas bin Malik radiallahu ‘anhu:
خَدَمْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ سِنِينَ٬ واللهِ مَا قَالَ لِي: أُفًّا قَطٌّ وَلَا قَالَ لِي لَشَيْءٍ: لِمَ فَعَلْتَ كَذَا؟ وَهَلَّا فَعَلْتَ كَذَا
Dari Anas bin Malik, ia berkata : “Aku berkhidmat dengan Rasulullah selama sepuluh tahun, demi Allah tidak pernah sekalipun baginda berkata kepadaku (walau kalimat) ah sekalipun”, dan tidak pernah sekalipun baginda berkata kepadaku mengapa kamu lakukan ini? dan mengapa kamu tidak melakukan ini?”.
(HR. Muslim)
Para pembaca sekalian, bukankah ini adalah contoh budi pekerti serta akhlak yang baik lagi mulia dari Rasulullah? Maka jika kita mengaku mencintai baginda dan mengaku sebagai ummatnya, akhlak seperti inilah yang harus kita contohi.
Pernah seorang Ulama’ tabiin bernama Al-Aswad bin Yazid rahimahullah (Murid kepada Ibnu Mas’ud) bertanya kepada Aisyah radiallahu ‘anha bagaimana Rasulullah ketika di rumah, Aisyah menjawab:
كانَ يَكونُ في مِهْنَةِ أهْلِهِ – تَعْنِي خِدْمَةَ أهْلِهِ – فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ خَرَجَ إلى الصَّلَاةِ
“Baginda melakukan pekerjaan istrinya, jika (waktu) solat telah tiba baginda keluar untuk melaksanakan solat (berjemaah)”
(HR. Bukhari)
Yang menyedihkan pada zaman ini, sebahagian lelaki bergelar suami begitu riang dan gembira serta sanggup menyempatkan waktunya berjam-jam berjumpa dengan kawan-kawannya, namun ketika dia berada di rumah, begitu sulit baginya berbincang dengan isterinya, matanya hanya tertuju pada telefon pintarnya, baginya dia sudah penat bekerja di luar, di rumah dia tidak lagi ingin mendengarkan celoteh ataupun masalah isterinya. Bahkan sebahagian suami merasa angkuh dan sombong untuk bercengkrama dengan isterinya.
Para pembaca yang dirahmati Allah ta’ala, janganlah kalian memperlakukan isteri yang menjadi amanah kalian seperti itu. Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam dalam kesibukan beliau sebagai Nabi dan Rasul, juga sebagai ketua negara, ditambah kesibukan beliau beribadah seringkali meluangkan waktunya berbincang-bincang isterinya. Bahkan diriwayatkan selepas baginda melaksanakan solat sunnah sepanjang malam, baginda akan menemani Aisyah berbicara hingga isterinya itu tertidur.
Abu Hurairah meriwayatkan sebuah wasiat Rasulullah shollahu alaihi wasallam di akhir kehidupan baginda:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir, janganlah ia menganggu jirannya, dan perlakukanlah wanita dengan baik, kerana sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk, dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah bagian atasnya. Jika engkau meluruskannya, maka engkau mematahkannya dan jika engkau biarkan, maka akan tetap bengkok. Oleh karena itu, berbuat baiklah kepada wanita.”
(HR. Bukhari)
Rasulullah menggambarkan para wanita tu bagaikan gelas kaca, baginda bersabda:
اِرفَقْ بِالقَوَارِيْر
“Berlemah-lembutlah engkau kepada gelas-gelas kaca (maksudnya para wanita).”
(HR. Bukhari & Muslim)
Janganlah sekali-kali ada rasa malu dalam berlemah-lembut kepada para isteri, sesungguhnya perbuatan itu adalah petunjuk serta wasiat Nabi kita Muhammad, jangan terbalik di luar rumah kita nampak begitu lemah dan lembut, tapi ketika di rumah kita berubah menjadi orang yang sangat kasar kepada ahli keluarga sendiri!
Apa yang kita kejarkan dengan menampilkan diri kita sebegitu rupa? Agar dipuji dan dipuja? Sedangkan petunjuk Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam adalah contoh terbaik untuk kebaikan dunia dan akhirat. Baginda berakhlak mulia, berlaku lemah lembut, tidak pernah mencaci maki, bahkan berwasiat kepada ummatnya untuk berlaku baik dengan para wanita.
Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabada:
إِنَّ الرِّفقَ لا يَكُونُ في شيءٍ إِلَّا زَانَهُ، وَلا يُنْزَعُ مِنْ شَيءٍ إِلَّا شَانَهُ
“Sesungguhnya kelembutan itu tidaklah ada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya, dan tidaklah dihilangkan kelembutan itu dari sesuatu melainkan akan membuatkannya nampak buruk.” (HR. Muslim)
Maka dari itu berlemah-lembutlah seperti mana Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam terhadap ahli keluarga dan sahabat-sahabat bahkan terhadap musuhnya. Kerana kelembutan inilah yang akan menghiasi akhlak dan membuatkan orang-orang di sekeliling kita mencintai dan menyayangi kita. Anak- anak yang melihat akhlak yang kita tampilkan juga akan mengikutinya. Ini kerana anak-anak lebih banyak mengikuti contoh dari pada yang mereka lihat dibandingkan dari apa yang mereka dengar.
Di samping itu juga, jangan lupa untuk terus-menerus mendoakan anak-anak kita untuk menjadi keturunan yang soleh. Seperti mana doa Nabi Ibrahim ‘alaihis salaam:
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
“Wahai Tuhan ku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh”. (Surah As-Shoffaat: 100)
Dan juga doa Nabi Zakariyya ‘alaihis salaam:
رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ
“Wahai Tuhan ku, berikanlah aku dari sisi Mu seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mengdengar doa”
(Surah Al-Imran: 38)
Serta doa masyhur yang diajarkan Allah ta’ala di dalam Al-Qur’an:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Surah Al-Furqan 74)
Ingatlah, doa ibu bapa kepada anak-anaknya adalah mustajab. Maka jangan sesekali meremehkannya!
Dalam mencapai kebahagiaan yang sejati dalam bahtera rumah tangga, kita perlu untuk mencontohi bagaimana Rasulullah shollahu alaihi wasallam mendidik dan berinteraksi dengan ahli keluarganya. Akhlak dan adab serta perilaku yang ditunjukkan baginda wajar untuk dicontohi.
Semoga sedikit tulisan ini dapat memberikan kita inspirasi untuk mengikuti ajaran Nabi kita Muhammad Shollahu alaihi wa sallam, kerana baginda lah Sebaik-baik seri tauladan untuk kita.