Junjungan besar kita kekasih dan utusan Allah ta’ala, Rasulullah s.a.w diberikan keistimewaan yang tidak ada pada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul sebelum baginda s.a.w.
Dalam sebuah Hadith Sahih, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Aku diberi lima perkara oleh Allah, yang tidak diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku. Aku ditolong (oleh Allah) berupa rasa takut pada hati musuh (sebelum mereka datang) sejauh perjalanan satu bulan, bumi dijadikan untukku sebagai tempat solat dan alat bersuci. Maka siapa sahaja dari ummatku yang mendapatkan waktu solat, hendaklah dia melaksanakan solat, ghonimah (harta perang) dihalalkan untukku, dan itu tidaklah halal untuk seorangpun sebelumku, Aku diberi syafa’at, dan Nabi-Nabi terdahulu diutus khas kepada kaumnya, sedangkan aku diutus untuk seluruh manusia” (HR. Bukhari)
Dari Hadith di atas kita mengetahui bahawa lima kelebihan yang disebutkan adalah beberapa keistimewaan yang diberikan Allah s.w.t hanya kepada Nabi kita Muhammad s.a.w.
5 Keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w.
1) Rasulullah s.a.w dibantu oleh Allah dalam menggapai kemenangan dengan memberikan rasa takut dan gerun pada musuhnya selama jarak perjalanan satu bulan.
Allah telah membuatkan hati musuh-musuhnya bergetar ketakutan meskipun pasukan kaum Muslimin belum sampai dalam perjalanan yang memakan masa satu bulan sebelumnya. Baginda mendapatkan keistimewaan ini secara mutlaq, bahkan ketika beliau bersendirian dalam menghadapi ancaman musuh.
2) Bumi sebagai tempat solat dan bersuci.
Mana-mana tempat di atas bumi ini juga diizinkan atas baginda dan umatnya melaksanakan solat, begitu pula dengan tanah di atas muka bumi tersebut, ketika tidak seorang Muslim tidak memiliki air, maka dibenarkan pula untuk bertayamum dengan tanah yang suci tersebut.
3) Harta perang atau ghanimah yang pada masa sebelumnya diharamkan lalu dihalalkan atas Nabi Muhammad dan ummatnya.
Ini menjadi motivasi tambahan bagi pejuang di jalan Allah ta’ala selain tujuan utamanya meraih pahala dari Allah.
4) Nabi Muhammad s.a.w diberikan keistimewaan untuk memberikan “Syafaat Uzhma”.
Ia adalah syafaat yang dikhaskan untuk Rasulullah bagi penduduk padang mahsyar yang sedang mengalami panasnya terik matahari sehingga mengakibatkan peluh yang mengenang untuk suatu waktu yang sangat lama dalam keadaan penuh ketakutan menunggu dihisabnya amalan.
Ketika ummat manusia meminta syafaat kepada Nabi Adam, dia menolaknya, begitu juga dengan Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa ‘alihimussalaam, mereka semuanya menolaknya kerana takut akan murka Allah ta’ala pada hari tersebut, lalu ketika mereka mendatangi Nabi Muhammad dan meminta bantuan baginda, dengan keistimewaan syafaat tersebut baginda meminta kepada Allah ta’ala agar mencepatkan Hari Keputusan.
5) Baginda s.a.w diutus untuk menyampaikan risalah dakwahnya kepada seluruh umat manusia dan jin hingga hari kiamat kelak.
Allah s.w.t berfirman,
“Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada ummat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.” (Surah Saba’: 28)
Dalam ayat yang lain Allah s.w.t berfirman:
“Katakanlah, ‘Hai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua.’” (Surah Al-A’raf:158)
Abu Ja’far Ath-Thahawi rahimahullah berkata menegaskan keistimewaan ini, “Dan beliau diutus kepada seluruh jin dan manusia dengan membawa kebenaran dan petunjuk, (dan dengan membawa) cahaya dan penerang.” (Al-‘Aqidah Ath-Thahawiyah).
Nota: Keisitimewaan Rasulullah s.a.w lebih banyak lagi, bahkan Ibnu Hajar mengatakan ada lebih tujuh belas keistimewaan yang dimiliki beliau, para pembaca boleh merujuk kepada kitab Zaadul Ma’ad karangan Ibn al-Qayyim untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih terperinci.
Semoga Allah s.w.t menjadikan kita hamba Nya yang bertakwa, serta menjadikan kita ummat Rasulullah s.a.w yang mengikuti sunnah dan mendapatkan syafaat baginda di akhirat kelak dengan izin Allah s.w.t.