Kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w

Kelebihan-kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

Allah ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an:

 إنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat Nya berselawat untuk nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”(Surah Al-Ahzab: 56)

Ibn Al-Qayyim rahimahullah menerangkan ayat di atas: “Jika Allah dan malaikat-malaikat Nya berselawat untuk Rasul Nya, maka hendaknya kalian juga berselawat untuknya kerana kalian telah mendapatkan berkah risalah dan usahanya seperti kemuliaan dunia dan akhirat” (Jalaaul Afham).

Definisi Selawat dan Salam ke atas Nabi:

1) Makna Selawat dari perkataan Solat.

Maknanya menurut majoriti ulama’ adalah: Rahmat dari Allah, Istighfar dari malaikat, dan doa dari manusia. Sebahagian ulama’ menjelaskan secara terperinci makna selawat itu adalah pujian Allah pada Nabi di sisi para malaikat, sedangkan selawat dari malaikat itu maksudnya adalah doa.

2) Makna Salam ke atas Nabi:

Syeikh Ibn Uthaimin rahimahullah mengatakan bahawa maksud kalimat salam itu bermakna Allah yang menyelamatkan, menjaga serta menolong Nabi.

Kelebihan berselawat ke atas Nabi:

1. Ianya selaras dengan perintah Allah s.w.t untuk berselawat ke atas Nabi.

Ini berdasarkan Firman Allah di surah Al-Ahzab yang disebutkan diawal penulisan makalah ini yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat Nya berselawat untuk nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzab: 56)

2. Ia akan mengangkat derajat mereka yang berselawat ke atasnya di syurga kelak, diampunkan dosa-dosa dan kesalahannya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali, dan dihapus ke atasnya sepuluh kesalahan, dan diangkat baginya sepuluh derajat (HR. Nasaai).

3. Ia adalah salah satu sebab untuk menghilangkan kekhuatiran & kerisauan seseorang.

4. Ia adalah sebab untuk mendapatkan syafa’at.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang berselawat ke atas baginda sepuluh hari ketika pagi hari dan sepuluh hari ketika petang maka dia mendapatkan syafaatnya”. (HR. Thabrani).

5. Orang yang paling dekat dengan Nabi di hari kiamat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atasnya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermakna:

“Orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku” (HR Tirmidzi).

6. Ia adalah sebab dari mustajabnya doa.

Maka menjadi ke harusnya untuk mereka yang ingin berdoa agar memulakan dan mengakhiri doanya dengan berselawat ke atas Nabi.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Jika salah seorang di antara kamu berdoa, hendaklah dia memulai dengan memuji Allah dan memuja Nya, lalu hendaknya dia membaca selawat ke atas Nabi shollahu ‘alaihi wa sallam, kemudian hendaklah dia berdoa setelah itu dengan apa yang dia kehendaki.” (HR. Tirmidzi)

7. Ia adalah salah satu dari tanda iman dan bukti cinta kita kepada baginda Rasulullah s.a.w.

Seperti mana Firman Allah ta’ala:

لِّتُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ وَتُسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

“Agar kalian beriman kepada Allah dan Rasul Nya, menguatkan (agama)Nya, membesarkan Nya. Dan bertasbih kepada Nya di waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Fath: 9)

8. Ia adalah sebab untuk keberkatan serta kebaikan dalam suatu majlis sehingga tidak menjadi punca dari penyesalan bagi yang hadir dalam pertemuan itu pada hari kiamat.

Sesuai dengan Hadith Rasulullah yang maknanya:

“Kaum mana pun yang duduk dan berlama-lama dalam suatu majelis lalu bersurai sebelum berzikir kepada Allah atau berselawat  atas Nabi nya maka bagi mereka kerugian dari Allah, jika Allah berkehendak Allah akan mengazab mereka. Jika Allah berkehendak pula Allah mengampuni mereka. (HR. Hakim).

9. Allah akan membalas selawat kepadanya sebanyak sepuluh kali.

Sesuai dengan Hadith yang bermaksud:

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (HR. Muslim).

10. Selawat dan salam yang dikirimkan, akan sampai kepada Rasulullah secara langsung.

Nabi bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah memiliki malaikat-malaikat yang berkeliling menyampaikan salam kepadaku dari ummatku.” (HR. Nasaai dan Hakim).

Waktu-waktu yang dianjurkan membaca selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w:

1. Ketika keluar dan masuk masjid.

“Dengan nama Allah, salam untuk Rasulullah, ya Allah selawat untuk Muhammad dan keluarga Muhammad, ampunilah kami dan mudahkanlah bagi kami pintu-pintu rahmat-Mu.”

2. Ketika mendengar nama baginda Rasulullah disebutkan.

“Celakalah seseorang yang namaku disebutkan di sisinya lalu ia tidak berselawat untukku.” (H.R. Tirmidzi dan Hakim)

3. Sebelum memulakan doa.

“Doa itu terhalangi, hingga orang yang berdoa itu berselawat untuk nabi Shollahu ‘alaihi wa sallam.” (H.R. Thabarani)

4. Pada hari Juma’at.

“Sesungguhnya di antara hari-hari yang paling afdhal adalah hari Juma’t, maka perbanyaklah berselawat untukku pada hari itu, karena selawat kalian akan sampai kepadaku”  (H. R. Abu Daud, Ahmad dan Hakim).

Nota: Di atas hanyalah sebahagian dari kelebihan berselawat ke atas Rasulullah s.a.w, masih banyak lagi yang belum kami tulis dalam makalah yang terbatas ini, bagi yang berminat memperdalaminya dengan lebih terperinci sila rujuk kitab Ibn Al-Qayyim Al-Jauziyyah Rahimahullah dalam bertajuk Jalaul Afham (جلاء الأفهام في فضائل الصلاة والسلام على خيرالأنام)

Kitab ini membahas lebih mendalam akan faedah berselawat ke atas nabi, bahkan beliau membawa kan 39 manfaat berselawat serta menyebutkan 41 tempat dan waktu yang baik bagi seorang hamba untuk berselawat ke atas Rasulullah s.a.w.

Disclaimer

The views, opinions, findings, and conclusions expressed in these articles are strictly those of the authors. Furthermore, Al-Falah Mosque does not endorse any of the personal views of the authors on any platform. Our team is diverse on all fronts, allowing for constant, enriching dialogue that helps us produce high-quality content.

Support Our Dakwah

Your donation will allow us to produce more programs & Islamic content that will bring benefits to the Muslim community in Singapore. The Messenger of Allah ﷺ said, “Verily, Allah is generous, and He loves generosity and exalted character.”
Donate

Related Articles