Beginilah Ramadan Para Sabahat Nabi ﷺ

 

Beginilah Ramadan Para Sahabat Nabi Muhammad 

Bagaimana para Sahabat menyambut bulan Ramadan

Para sahabah radiallahu ‘anhum dalam banyak riwayat mengikuti contoh Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam dalam menyambut bulan Ramadan, mereka bersiap sedia bukan dengan mempelbagaikan jenis makanan dan minuman, tidak pula dengan menghias rumahnya dengan mengecat mahupun sibuk membeli perabot atau baju baru, namun dengan memperbanyakkan ibadah, samaada dengan solat malam, berpuasa, membaca Al-Qur’an, bersedekah dan lain-lain amalan demi menggapai ketaatan kepada Allah ta’ala semaksimal mungkin.

Menjelang Ramadan, para sahabah merasa gembira dan berdoa agar dipertemukan dengan bulan Ramadan. Antara bekal lain yang dapat dipersiapkan untuk menyambut bulan Ramadan ini adalah dengan menambah ilmu, memperbanyak taubat, serta memohon kemudahan dari Allah ta’ala dalam menjalaninya.

Sebahagian ulama’ bahkan mengatakan bahawa tanda keimanan seorang muslim adalah bergembira dengan datangnya bulan Ramadan, kerana di dalamnya terdapat kebaikan berkali ganda hasil kurniaan Allah ta’ala untuk setiap muslim- bayangkan, ketika tidur sahaja masih dapat pahala, apatah lagi amalan-amalan yang lain digandakan pahalanya. Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam menyambut bulan Ramadan:

ﻗَﺪْ ﺟَﺎﺀَﻛُﻢْ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥُ، ﺷَﻬْﺮٌ ﻣُﺒَﺎﺭَﻙٌ، ﺍﻓْﺘَﺮَﺽَ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﺻِﻴَﺎﻣَﻪُ، ﺗُﻔْﺘَﺢُ ﻓِﻴﻪِ ﺃَﺑْﻮَﺍﺏُ ﺍﻟْﺠَﻨَّﺔِ، ﻭَﺗُﻐْﻠَﻖُ ﻓِﻴﻪِ ﺃَﺑْﻮَﺍﺏُ ﺍﻟْﺠَﺤِﻴﻢِ، ﻭَﺗُﻐَﻞُّ ﻓِﻴﻪِ ﺍﻟﺸَّﻴَﺎﻃِﻴﻦُ، ﻓِﻴﻪِ ﻟَﻴْﻠَﺔٌ ﺧَﻴْﺮٌ ﻣِﻦْ ﺃَﻟْﻒِ ﺷَﻬْﺮٍ، ﻣَﻦْ ﺣُﺮِﻡَ ﺧَﻴْﺮَﻫَﺎ ﻓَﻘَﺪْ ﺣُﺮِﻡَ

“Telah datang kepada kalian Ramadan, bulan yang diberkahi. Allah mewajibkan atas kalian berpuasa kepadanya. Pintu-pintu syurga dibuka padanya dan pintu-pintu neraka ditutup. Syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat sebuah malam yang lebih baik dibandingkan seribu bulan. Siapa yang terhalang dari kebaikannya, maka sungguh dia telah terhalangi (dari kebaikan itu).” (HR. Ahmad).

Melihat bagaimana para salaf terdahulu dalam menyambut bulan Ramadan, Ma’la bin al-Fadl berkata:

ﻛَﺎﻧُﻮْﺍ ﻳَﺪْﻋُﻮْﻥَ ﺍﻟﻠﻪَ ﺳِﺘَّﺔَ ﺃَﺷْﻬُﺮٍ ﺃَﻥْ ﻳُﺒَﻠِّﻐَﻬُﻢْ ﺷَﻬْﺮَ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥَ، ﺛُﻢَّ ﻳَﺪْﻋُﻮْنَ اﻟﻠﻪَ ﺳِﺘَّﺔَ ﺃَﺷْﻬُﺮٍ ﺃَﻥْ ﻳَﺘَﻘَﺒَّﻠَﻪُ ﻣِﻨْﻬُﻢْ

Dahulu mereka (para salaf) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar mereka dipertemukan lagi dengan Ramadan. Kemudian mereka berdoa selama enam bulan lagi agar Allah menerima (amal-amal shalih di Ramadan yang lalu) mereka.” (Latha’if Al-Ma’arif hal)

Imam Makhul Al-Shami (kibar tabi’in) ketika datang bulan Ramadan berdoa dengan sebuah doa:

“ للَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلا “

“Ya Allah, hantarkanlah aku (untuk berjumpa dengan) Ramadan, dan hantarkanlah Ramadan kepadaku, dan terimalah amal-amalku di bulan Ramadan”.

Para Sahabat dan solat malam:

Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

 مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Barangsiapa mendirikan ibadah di malam Ramadhan kerana iman dan mencari pahala, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR. Bukhari & Muslim).

Aisyah radiallahu ‘anha juga mengatakan bahawa Rasulullah tidak pernah meninggalkan solat malam, ketika baginda sakit atau sedang malas, maka baginda akan solat sambil duduk.

Ketika mendengar hadith ini, Umar bin Khattab melaksanakan solat malam sehingga pertengahan malam, dan kemudian beliau akan membangunkan ahli keluarganya seraya mengatakan: “As-Solah.. As-Solah..” lalu membacakan ayat.

 وَأۡمُرۡ أَهۡلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصۡطَبِرۡ عَلَيۡهَا لَا نَسۡـَٔلُكَ رِزۡقاً نَّحۡنُ نَرۡزُقُكَ وَٱلۡعَٰقِبَةُ لِلتَّقۡوَىٰ

“Dan perintahkanlah kepada keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam melaksanakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kami lah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.”

[Surah Taha: 132]

Para Sahabat bersama Al-Qur’an

Para salaf terdahulu, bukannya semakin lemah ketika berpuasa tapi bahkan menghabiskan masa mereka dalam menjalani bulan Ramadan dengan menjadi lebih produktif dalam rutin seharian mereka dengan memperbanyak ibadah, sebagai contohnya Uthman bin Affan radiallahu ‘anhu mengkhatamkan Al-Qur’an satu hari satu kali.

Diriwayatkan oleh Ibnu Umar bahawasanya Amirul mu’minin Uthman bin Affan seakan-akan beliau mengkhatamkan Al-Qur’an dalam satu raka’at. Bayangkan bagaimana pula jika Uthman melaksanakan solat tarawih sebanyak 23 raka’at dalam satu malam?

Seorang ulama’ tabi’in, Alqamah bin Qays mengatakan bahawa beliau pernah bermalam di rumah Ibnu Mas’ud, lalu mendapatkannya melaksanakan solat malam dari awal malam dan tidak berhenti kecuali ketika mendekat waktu Subuh.

Para Sahabat dan sedekah

كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم أجودَ الناسِ بالخيرِ ، وكان أجودَ ما يكون في شهرِ رمضانَ حتى ينسلِخَ ، فيأتيه جبريلُ فيعرضُ عليه القرآنَ ، فإذا لقِيَه جبريلُ كان رسولُ اللهِ أجودَ بالخيرِ من الرِّيحِ الْمُرسَلَةِ

“Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melebihi hembusan angin.” (HR. Bukhari).

Para salaf juga saling bersaing untuk memperbanyak sedekah, suatu hari Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam menyuruh para sahabah untuk bersedekah, lalu Umar bin Khattab berkata: “Hari ini akan aku kalahkan Abu Bakar (dalam bersedekah), lalu aku datang kepada Rasulullah membawa setengah hartaku, dan aku melihat Abu Bakar telah sampai terlebih dahulu dengan seluruh hartanya”. Lalu Umar pun berkata: “Wahai Abu Bakar, aku tidak akan pernah menandingimu dalam apapun selama-lamanya”. (ringkasan hadith dari Sahih Abu Daud).

Begitu banyak dalil tentang keutamaan bersedekah, antara keutamaannya adalah ia dapat menghapus dosa, orang yang melakukannya akan mendapatkan perlindungan di akhirat kelak, sedekah juga dapat membuatkan harta pemiliknya menjadi berkah, Allah melipatgandakan pahala orang yang bersedekah, juga terdapat pintu syurga khas untuk orang yang bersedekah, ia juga dapat menjadi bukti keimanan seseorang, orang yang bersedekah dibebaskan dari azab kubur, hatinya menjadi bahagia, pahalanya terus berkembang sebagaimana hadith Rasulullah yang bermaksud bahkan sedekah yang hanya satu biji dapat berkembang menjadi sebesar gunung Uhud, sedekah dapat menjauhkan diri dari api neraka.

Antara sedekah terbaik yang dapat dilakukan di bulan Ramadan ini adalah memberi makan berbuka bagi orang yang berpuasa, Rasululllah shollahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

“Barangsiapa yang memberi makan berbuka bagi orang yang sedang berpuasa, maka dia akan mendapatkan pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi (jatah) pahalanya (HR. At-Tirmizi & Ibnu Majah).

Sepuluh malam terakhir &  I’tikaf

Diriwayatkan dari Ummul Mu’min Aisyah:

 أّنَّ رَسُولُ اللهِ صلَّى اللهُ عَلَيهَ وَسَلَّمَ إذا دَخَل العَشْرُ أحْيَا اللَّيلَ، وأيْقظَ أهلَه، وجَدَّ، وشَدَّ المئزَرَ

“Sesungguhnya Rasulullah sollahu ‘alaihi wa sallam apabila telah masuk sepuluh (akhir) malam terakhir Ramadan, baginda menghidupkan malamnya, membangunkan keluarganya, bersungguh-sungguh (dalam beribadah) dan mengetatkan sarungnya” (Muttafaq ‘alaih).

Hal ini pula yang diikuti oleh isteri-isteri baginda Ummahatul mu’minin selepas kewafatan baginda, mereka meneruskan beriti’kaf di akhir Ramadan selepas pemergian Rasulullah sollahu ‘alaihi wa sallam.

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

“Sesungguhnya Nabi sollahu ‘alaihi wa sallam beri’tikaf di 10 hari yang terakhir dalam setiap bulan Ramadan hingga Allah Ta’ala mewafatkannya. Kemudian isteri-isteri Baginda (pula meneruskan) beri’tikaf selepas kewafatan baginda.” (HR. Bukhari & Muslim).

Ummul Mu’minin Aisyah mengatakan: “Sunnah bagi orang yang beri’tikaf untuk tidak menziarahi orang sakit, tidak pula menghantar jenazah, tidak diperbolehkan untuk menyentuh isterinya dan berhubungan suami-isteri, tidak keluar dari masjid kecuali untuk keperluan yang benar-benar darurat”.

Inti dari I’tikaf adalah (الانقطاع عن الناس) yang bermaksud memutuskan hubungan dengan orang ramai dalam rangka beribadah, maka perlu diingatkan bagi mereka yang melaksanakan I’tikaf untuk tidak menyia-nyiakan waktunya dengan bercanda, berbual-bual kosong, ataupun sibuk dengan sosmed agar mendapatkan pahala penuh semasa I’tikaf.

Disclaimer

The views, opinions, findings, and conclusions expressed in these articles are strictly those of the authors. Furthermore, Al-Falah Mosque does not endorse any of the personal views of the authors on any platform. Our team is diverse on all fronts, allowing for constant, enriching dialogue that helps us produce high-quality content.

Support Our Dakwah

Your donation will allow us to produce more programs & Islamic content that will bring benefits to the Muslim community in Singapore. The Messenger of Allah ﷺ said, “Verily, Allah is generous, and He loves generosity and exalted character.”
Donate

Related Articles