Solat Tarawih: 8 atau 20 rakaat?

 

Solat Tarawih: 8 atau 20 rakaat?

Segala puji bagi Allah ta’ala yang telah memberikan kita kesempatan sekali lagi untuk bertemu dengan bulan yang suci ini, bulan yang diturunkan Al-Qur’an, syaitan-syaitan dibelenggu, pintu-pintu api neraka ditutup, manakala pintu-pintu syurga dibuka, malamnya penuh dengan kemuliaan dan keberkahan, serta dikabulkan doa-doa orang yang meminta kepada Allah ta’ala, diampunkan dosa-dosa lalu dilipat kali gandakan amal soleh.

Sungguh tidak semua yang beruntung dapat berjumpa dengannya, maka bersyukurlah atas kesempatan ini, dan manfaatkan peluang yang sedia ada- mungkin tahun depan kita tidak lagi mendapatkan peluang ini.

Dalam penulisan kali ini akan kami bawakan permasalahan yang sentiasa menjadi polemik bagi ummat Islam di seluruh dunia, khasnya di Singapura berkenaan jumlah raka’at Solat Tarawih.

Manakah yang lebih benar? Tarawih 8 raka’at ataupun 20 raka’at?

Perkara ini kembali kepada asal hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar radiallahu ‘anhu, Rasulullah shollahu alaihi wasallam bersabda:

صَلاَةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خَشِىَ أَحَدُكُمُ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً، تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى

“Solat malam itu dua raka’at – dua raka’at. Jika kalian takut masuk waktu Subuh, maka kerjakanlah satu raka’at, untuk menjadi witir bagi solat-solat sebelumnya.” (HR. Bukhari & Muslim)

Melihat dari zahir hadith di atas, bahawa Rasulullah menjelaskan pada pelaksanaan solat sunnah yang dilakukan pada malam hari itu sifatnya adalah dua raka’at tanpa had raka’at tertentu, dan kemudian disunnahkan untuk menutupnya dengan solat witir satu raka’at sebelum masuknya waktu Subuh.

Lalu dari mana datang batasan had raka’at yang kita dapatkan pada saat ini?

Mari kita lihat beberapa riwayat hadith dan athar berkenaan solat malam Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam:

Ummul Mu’minin Aisyah pernah ditanya oleh murid-muridnya tentang bagaimana cara Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam solat malam. Jawab Aisyah radhiyallahu ‘anha,

مَا كَانَ يَزِيدُ فِى رَمَضَانَ وَلاَ غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً

Baginda tidak pernah menambah lebih dari 11 raka’at, baik di dalam Ramadan mahupun di luar Ramadan. (HR. Bukhari)

Aisyah radiallahu ‘anha juga berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِيمَا بَيْنَ أَنْ يَفْرُغَ مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ -وَهِيَ الَّتِي يَدْعُو النَّاسُ الْعَتَمَةَ- إِلَى الْفَجْرِ، إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، يُسَلِّمُ بَيْنَ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ، وَيُوتِرُ بِوَاحِدَةٍ.

“Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam pernah solat antara waktu setelah solat Isya’ (yang biasa disebut ‘atamah) hingga waktu Fajar. Baginda melakukan sebelas raka’at, setiap dua raka’at beliau salam, dan beliau juga melakukan witir satu raka’at.” (HR. Muslim)

Dalam riwayat yang lain:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى مِنَ اللَّيْلِ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً

Rasulullah sollahu ‘alaihi wa sallam melaksanakan solat malam sebanyak 13 raka’at. (HR. Abu Daud)

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas, beliau berkata:

كَانَتْ صَلاَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً يَعْنِي بِاللَّيْلِ

“Solat Nabi Muhammad shollahu ‘alaihi wasallam adalah tiga belas raka’at iaitu solat malam. (HR. Bukhari)

Seorang ulama’ yang hidup pada zaman Tabi’in, Atha’ bin Abi Rabah (114 H) berkata:

أَدْرَكْت النَّاسَ وَهُمْ يُصَلُّونَ ثَلاَثًا وَعِشْرِينَ رَكْعَةً بِالْوِتْرِ

“Aku menemui orang-orang solat 23 raka’at dengan witir satu raka’at”.

Seorang ulama’ perawi Hadith, Dawud bin Qais pula berkata:

دَاوُدَ بْنِ قَيْسٍ، قَالَ : أَدْرَكْتُ النَّاسَ بِالْمَدِينَةِ فِي زَمَنِ عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ وَأَبَانَ بْنِ عُثْمَانَ يُصَلُّونَ سِتَّة وَثَلاَثِينَ رَكْعَةً وَيُوتِرُونَ بِثَلاَثٍ.

“Aku menemukan di Madinah pada masa Umar bin Abdul Aziz dan Aban bin Utsman solat 36 raka’at dan witir 3 raka’at.” (Mushonnaf Ibnu Abi Syaibah).

Kesimpulan:

Melihat dari hadith serta athar di atas, maka dapat disimpulkan bahawa tiada had tertentu bagi solat Tarawih dari zaman Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam sehingga zaman ulama’ Tabi’in. Ada yang melaksanakannya 11,13, 23 bahkan 36 raka’at.

Ibnu Taimiyah mengatakan:

والأفضل يختلف باختلاف أحوال المصلين فإن كان فيهم احتمال لطول القيام فالقيام بعشر ركعات وثلاث بعدها . كما كان النبي صلى الله عليه وسلم يصلي لنفسه في رمضان وغيره هو الأفضل وإن كانوا لا يحتملونه فالقيام بعشرين هو الأفضل

Yang paling afdhal, berbeza sesuai kondisi orang yang solat. Jika mereka mampu diajak berdiri lama, maka tarawih dengan 10 raka’at dan 3 raka’at setelahnya lebih baik. Seperti yang dilakukan sendiri oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika di bulan Ramadan dan di luar Ramadan. Namun jika mereka tidak kuat berdiri lama, tarawih 20 raka’at lebih afdhal. (Majmu’ al-Fatawa, 22/272).

Keterangan: Ini kerana satu juzu’ yang dibaca pada 10 raka’at akan membuat lebih lama jema’ah berdiri dibandingkan satu juzu’ yang dibaca pada 20 raka’at.

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah mengatakan:

وَمَنْ ظَنَّ أَنَّ قِيَامَ رَمَضَانَ فِيهِ عَدَدٌ مُوَقَّتٌ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُزَادُ فِيهِ وَلَا يُنْقَصُ مِنْهُ فَقَدْ أَخْطَأَ

“Barangsiapa yang mengira qiyam Ramadan ada bilangan tertentu dari Nabi yang tidak boleh ditambah dan dikurangkan maka dia telah terjatuh dalam kesalahan.”(Majmu’ Fatawa)

Mana yang lebih baik?

Yang lebih utama bagi kita sebagai makmum adalah mengikuti imam dari awal sehingga selesai solat tarawih demi mendapatkan pahala solat malam penuh berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah shollahu ‘alaihi  wa sallam bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Barangsiapa melaksanakan qiyam Ramadhan karena iman dan mencari pahala, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR. Bukhari & Muslim).

Dalam hadith yang lain sahabat Abu Dzar Al-Ghifari meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah mengumpulkan keluarga dan para sahabatnya. Lalu baginda bersabda:

إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةً

Barangsiapa yang solat bersama imam sehingga dia selesai, maka ditulis untuknya pahala qiyam satu malam penuh.” (HR An-Nasai, Tirmizi & Ibnu Majah)

Ringkasan:

  1. Solat tarawih dapat dilakukan sebanyak dua raka’at – dua raka’at. Tiada batasan jumlah tertentu di dalam melaksanakan solat Tarawih seperti mana solat malam di luar Ramadan.
  2. Disunnahkan untuk menutup solat malam dengan solat Witir – minimal satu raka’at.
  3. Menjadi sunnah untuk menutup solat malam (tarawih, qiyam, tahajud) dengan solat witir.
  4. Solat Witir dapat dilambatkan sehingga sebelum solat Subuh, sebagai contoh jika seseorang berniat untuk bangun ketika sahur untuk melaksanakan solat Tahajjud, maka boleh dilambatkan solat Witir tersebut untuk menjadi penutup kepada solat Tahajjud.
  5. Namun, kami menganjurkan kepada mereka yang hendak mendapatkan pahala solat malam seluruhnya untuk melaksanakan solat Tarawih bersama imam dari awal hingga selesai solat Witir, jangan kerana hendak melambatkan solat Witir ketika solat Tahajud malam nanti di rumah, maka dia tidak ikut solat bersama imam nantinya. Ini amat disayangkan, kerana ditakutkan tidak mendapatkan fadilat solat seluruh malam sesuai hadith yang disebutkan sebelumnya.
  6. Bagi mereka yang memasang niat untuk meneruskan solat tahajud di rumah, maka kami bawakan beberapa solusi:
    1. Mereka yang takut tak dapat bangun malam atau terlajak masuk waktu Subuh, maka hendaklah dia solat witir bersama imam di masjid, lalu ketika dia sempat bangun untuk solat Tahajud nanti, maka dia boleh meneruskannya dengan solat dua raka’at – dua raka’at seperti biasa tanpa menutupnya dengan solat Witir, ini kerana tidak boleh ada dua witir dalam satu malam.
    2. Mereka yang yakin akan bangun malam untuk solat tahajud sebelum Subuh, maka ketika dia melaksanakan solat Tarawih bersama imam di masjid, ketika solat Witir terakhir, dia niatkan untuk menggenapkannya dengan menambah jumlah bilangan. Sebagai contoh jika imam solat Witir satu raka’at, selepas imam bertasyahhud memberikan salam, dia bangun menambah satu raka’at lagi hingga menjadi solat witir itu sebagai solat genap dua raka’at, lalu dia dapat meneruskan solat Tahajjud di rumah ditambah dengan witir secara sendiri. Cara ini lebih baik kerana dia mendapatkan dua fadhilat: Yang pertama dia mendapatkan fadhilat solat malam sepenuhnya kerana melaksanakan solat dengan imam di Masjid secara sempurna, yang kedua dia menutup solat malamnya dengan witir sesuai sunnah Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam.
  7. Cadangan terakhir kami adalah, usahlah mempermasalahkan lagi bilangan raka’at yang dilaksanakan imam di suatu masjid, jika imam solat 8 raka’at maka ikutilah hingga selesai, jika imam solat 20 raka’at, maka solatlah hingga ke akhirnya. Dengan ini dia mendapatkan fadhilat solat malam keseluruhannya insha Allah.
  8. Intinya adalah, semakin lama masa yang diambil imam dalam melaksanakan solat Tarawih walaupun bilangan raka’atnya 8 lebih baik dari imam yang melaksanakan solat Tarawih 20 raka’at tapi waktunya hanya sebentar.
  9. Insha Allah, semua amalan-amalan ini bersandarkan dari dalil-dalil hadith Rasulullah, athar sahabah dan tabi’in serta ijtihad ulama’ terdahulu. Tiada yang salah dalam hal ini, yang salah adalah mereka yang banyak bercakap tapi tidak mahu ikut solat Tarawih.
  10. Semoga Allah menerima amalan kita semuanya di dunia dan akhirat. Amin ya rabbal alamin.

Disclaimer

The views, opinions, findings, and conclusions expressed in these articles are strictly those of the authors. Furthermore, Al-Falah Mosque does not endorse any of the personal views of the authors on any platform. Our team is diverse on all fronts, allowing for constant, enriching dialogue that helps us produce high-quality content.

Support Our Dakwah

Your donation will allow us to produce more programs & Islamic content that will bring benefits to the Muslim community in Singapore. The Messenger of Allah ﷺ said, “Verily, Allah is generous, and He loves generosity and exalted character.”
Donate

Related Articles